Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pandu simulator bukan bukti kapten MH370 cuba bunuh diri'

Walaupun Kapten Zaharie Ahmad memandu alat simulator ke arah Lautan Hindi seminggu sebelum pesawat MH370 dilapor hilang, ia bukan bukti juruterbang itu cuba membunuh diri dengan menjatuhkan pesawat berkenaan.

“Ia bukan bukti (bunuh diri) kalau dia (kapten Zaharie) memandu pesawat itu (guna simulator) melalui laluan yang sama.

“Penyiasatan masih berjalan dan kita serahkan kepada badan penyiasatan untuk siasat apa-apa bukti yang mereka ada,” kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai

Isnin lalu news.com.au melaporkan siasatan rahsia FBI mendapati bahawa Zaharie cuba memandu alat simulator ke arah tempat ia dipercayai jatuh iaitu di Lautan Hindi seminggu sebelum ia hilang.

Laporan itu turut menyebut bahawa Zaharie dipercayai membunuh diri dengan menjunamkan pesawat itu.

Sementara itu Liow meminta sekiranya mana-mana pihak mempunyai bukti berkaitan kehilangan MH370 itu supaya mengemukakan kepada badan penyiasatan.

“Kalau kamu ada bukti perkara itu boleh kemukakan kepada tim penyiasatan,” katanya kepada pemberita di Hotel Shangri- La Putrajaya.

Pencarian pesawat MH370 Malaysia Airlines akan digantung jika tidak dijumpai di kawasan pencarian ketika ini, kata Malaysia, China dan Australia dalam satu kenyataan Jumaat lalu.

Pesawat itu, dengan 239 penumpang dan anak kapal, hilang pada Mac 2014 semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Hampir AS$135 juta dibelanjakan bagi pencarian MH370 di bawah laut yang menjangkau 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi.

Lihat Komen
ADS