Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Polis ambil langkah kurangkan kes tembak

Polis sedang giat memburu suspek yang disyaki terlibat dalam kes menembak hingga mati seorang pengurup wang di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang di Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata keempat-empat suspek itu dipercayai masih berada dalam negara.

"Kami masih memburu kesemua suspek dan mereka tidak boleh pergi jauh dari sini. Polis juga akan siasat keseluruhan aspek kes termasuk kemungkinan penglibatan kumpulan kongsi gelap.

"Biar polis selesaikan siasatan dahulu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pihak polis percaya setiap pembunuhan berkaitan kes tembak di negara ini mempunyai motif tersendiri dan bukan tembakan rambang.

"Ia ada sebabnya tersendiri. Bukannya orang gila tembak sana sini. Kami
sedang mengambil langkah-langkah tambahan untuk meminimumkan kes sedemikian," katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa cedera parah di kepala, badan serta paha selepas terkena 10 das tembakan daripada 18 das tembakan dilepaskan kepadanya oleh dua individu yang membonceng dua motosikal.

-Bernama

Lihat Komen
ADS