Sebanyak 592 cawangan Pemuda MCA hari ini diisytihar tidak layak mengadakan pemilihan pada 16 April manakala 64 lagi digantung dan dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda MCA di ibupejabat parti itu di Jalan Ampang di sini, Pengerusi Pemuda MCA Datuk Ong Tee Keat berkata cawangan terbabit sama ada tidak mempunyai ahli atau ahlinya tidak menjelaskan yuran tahunan.

Katanya perlembagaan MCA menyebut, setiap cawangan Pemuda parti itu mesti mempunyai sekurang-kurangnya 25 ahli berusia bawah 45 tahun dan perlu menjelaskan yuran keahlian RM2 setahun.

"Kami percaya ada di kalangan mereka yang terlupa untuk memperbaharui keahlian," kata Ong apabila ditanya sebab-sebab ahli pergerakan itu enggan membayar yuran masing-masing.

Menurut laporan Bernama , Ong turut mengumumkan bahawa 2,722 cawangan Pemuda MCA mendapat lampu hijau untuk mengadakan pemilihan masing-masing.

Pemilihan peringkat cawangan pergerakan itu akan diikuti dengan pemilihan peringkat bahagian sebulan kemudian sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung Pemuda dan Wanita MCA Ogos ini.