Lembaga Disiplin Umno dan Badan Pencegah Rasuah mempunyai tafsiran berbeza mengenai kesalahan politik wang, menyebabkan ada kes-kes tertentu yang diadili oleh parti itu, tidak dibawa kepada BPR, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata disebabkan faktor itu jugalah, maka sesetengah ahli Umno hanya didapati bersalah dan dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti, walaupun mereka terlibat dalam politik wang.

"Saya diberitahu ada perkara yang diadili oleh Lembaga Disiplin kita yang merupakan kesalahan tetapi mengikut Akta (Pencegahan) Rasuah (1997) tidak salah.

"Sebagai contoh, ketua (Umno) bahagian pada tiap-tiap tahun beri bantuan mungkin RM100 kepada cawangan-cawangan untuk bermesyuarat tetapi pada tahun pertandingan, pemberian itu dianggap satu kesalahan, walhal itu bukan benda luar biasa, sebab itu mereka dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno.

"Tetapi dari segi Akta (Pencegahan) Rasuah, ia tidak salah kerana ini diberi tiap-tiap tahun cuma pada tahun (pemilihan parti) ia dianggap boleh pengaruhi pertandingan," katanya menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras).

Ikan yu

Menurut laporan Bernama , Mohamed Nazri, yang mengucapkan terima kasih kepada Tan kerana prihatin terhadap Umno, berkata bagaimanapun ia tidak bermakna ahli Umno yang terlibat dalam gejala rasuah terkecuali daripada siasatan BPR.

Beliau kemudian memberi contoh mengenai kes terhadap bekas exco kerajaan negeri Perak Datuk Azman Mahalan yang sedang dibicarakan berhubung tuduhan memberi rasuah bagi menghalang orang lain bertanding merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Tapah yang dipegangnya semasa pemilihan parti 2001.

"Itu ikan yu le tu," katanya bagi menafikan dakwaan Tan yang dalam soalannya ingin tahu sama ada Umno mengecualikan pemimpinnya daripada siasatan BPR walaupun Lembaga Disiplin parti itu memutuskan pemimpin berkenaan bersalah kerana politik wang.

Tan memberi contoh mengenai beberapa pemimpin Umno yang masih memegang jawatan dalam kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri walaupun telah dikenakan tindakan gantung keahlian oleh Lembaga Disiplin Umno setelah didapati bersalah terlibat dalam politik wang.

Menjawab soalan asal wakil pembangkang itu, Mohamed Nazri berkata Umno tidak pernah memberi sebarang keistimewaan kepada pemimpinnya untuk mengelakkan mereka daripada disiasat oleh BPR sekiranya ada aduan mengaitkan mereka dengan rasuah.