Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bloomberg: Harga minyak global kembali merudum
Diterbitkan:  Jul 29, 2016 6:21 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Harga minyak dunia kembali menjunam sekitar 20 peratus ekoran tercetusnya kebimbangan mengenai lebihan bekalan di peringkat global dan peningkatan pengeluaran komoditi tersebut.

Pada hari ini, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) menyusut kepada AS$40.70 (RM165.57) setong manakala minyak mentah Brent turun kepada AS$42.69 (RM173.67) setong.

Harga minyak berkenaan pernah memuncak setinggi AS$50 (RM203.22) setong pada awal bulan Jun yang lalu.

Memetik laporan Bloomberg, firma Morgan Stanley meramalkan harga minyak mentah boleh merosot ke paras AS$30 (RM121.94) setong akibat ketidak seimbangan dalam sistem penawaran dan permintaan di peringkat global.

"Walaupun proses pengeluaran minyak mentah secara berlebihan sedang diperlahankan, inventori terutama petrol di seluruh dunia sedang ditingkatkan selain kebangkitan semula dalam aktiviti penggerudian Amerika Syarikat," katanya dalam laporan tersebut.

Baru-baru ini, ringgit mengalami penurunan mingguan terbesar dalam tempoh 10 bulan disebabkan harga minyak mentah yang lebih rendah dan laporan kontroversi melibatkan 1MDB, lapor Bloomberg.

Penurunan harga minyak secara jelas memberi kesan kepada prospek pendapatan pengeksport minyak negara selain episod terbaru 1MDB yang boleh menyumbang penurunan tahunan terbesar ringgit seperti tahun lalu sejak tahun 1997.

Tidak lama dahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengakui sektor tenaga di Malaysia memainkan peranan yang penting kerana industri minyak dan gas menyumbang lebih 40 peratus kepada pendapatan negara ini.

Sementara itu, dalam laporan Bloomberg itu, Ketua Vitol SA, David Fransen berkata, terdapat banyak minyak mentah dan produk petroleum ditapis di serata tempat tetapi trend permintaan terhadap produk berkaitan adalah mendatar.

Vitol SA yang berpangkalan di Geneva adalah pedagang minyak bebas terbesar.

IEA yang berpangkalan di Paris pula berkata, stok simpanan minyak mentah dan minyak ditapis di negara-negara perindustrian mencecah rekod lebih daripada tiga bilion tong.

Lihat Komen
ADS