Penduduk Sungai Udang lantik Sivarasa wakili mereka di mahkamah
Penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut telah menolak khidmat peguam yang dilantik oleh Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ezam Mohd Noor kerana mahu mendapatkan peguam yang lebih berpengalaman.
Penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut telah menolak khidmat peguam yang dilantik oleh Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ezam Mohd Noor kerana mahu mendapatkan peguam yang lebih berpengalaman.
Berikutan itu, penduduk terbabit telah melantik Sivarasa Rasiah seorang peguam berpengalaman dalam isu-isu masyarakat dan Timbalan Presiden PKR untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada merobohkan rumah setinggan mereka.
"Sivarasa setuju untuk mewakili penduduk setinggan Kampung Sungai Udang bagi mendapatkan perintah mahkamah tersebut. Pada peringkat ini, kami sedang mengumpulkan dokumen-dokumen untuk diserahkan kepada beliau.
'Urusan penduduk Kampung Kampung Sungai Udang bagi menghadapi notis DBKL kini diserahkan kepada peguam Sivarasa dan beliau akan memfailkan tuntutan untuk mendapatkan perintah mahkamah secepat mungkin," kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang, Mohamad Yaacob.
Beliau berkata, Sivarasa merupakan peguam pertama dan paling awal melawat Kampung Sungai Udang, sebaik mereka diarahkan berpindah oleh DBKL awal Februari lalu.
Seramai 30 penduduk terbabit sedang berusaha untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengenepikan arahan berpindah yang dikeluarkan oleh DBKL ke atas mereka.
Peguam berpengalaman
Sebelum ini, dua peguam yang diusahakan oleh Ezam Shamsul Iskandar Md Akin dan Mohd Yusmaidi Yusof telah mengadakan perbincangan dengan 30 setinggan terbabit berhubung langkah mendapatkan perintah mahkamah tersebut.
Bagaimanapun, kata Mohamad, perbincangan itu hanyalah untuk mendapatkan pandangan kedua-dua peguam muda itu tetapi mereka belum melantik secara rasmi mewakili penduduk setinggan Kampung Sungai Udang.
"Kami memilih Sivarasa bagi memenuhi penduduk setinggan yang mahukan peguam yang lebih berpengalaman mengendalikan kes itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Berikutan itu, katanya, peguam Iskandar Mohd Akin dan Mohd Yusmaidi Yusof tidak akan mewakili penduduk untuk membawa kes mereka ke mahkamah.
Mohamad berkata, beliau dan beberapa ahli jawatankuasa penduduk mengadakan perbincangan dengan Sivarasa mengenai tindakan yang boleh diambil dan beliau menyarankan supaya mengambil tindakan mahkamah.
Bagaimanapun, difahamkan perbincangan tersebut terhenti kerana penduduk tidak mampu membiayai kos yang terbabit dan berusaha mencari peguam lain.
Surat tawaran
Mohamad berkata, selepas itu, Ezam membantu untuk mendaparkan peguam yang mengenakan bayaran yang lebih rendah kepada penduduk Kampung Sungai Udang.
"Peguam Shamsul Iskandar dan Yusmaidi mengadakan perbincangan dengan kami dua minggu lalu tetapi kami belum membuat keputusan untuk melantik mereka mewakili penduduk di sini," katanya.
Beliau berkata, bayaran yang dikenakan oleh Sivarasa juga berpatutan dan penduduk boleh membayarnya secara ansuran supaya tidak membebankan mereka.
Beliau berkata, beberapa pihak seperti DAP dan Fomca juga mahu membantu menyediakan khidmat peguam tetapi mereka menolak kerana lebih yakin dengan kemampuan Sivarasa.
Baru-baru ini, katanya, DBKL sekali lagi menghantar surat tawaran menyewa rumah pangsa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jinjang tetapi penduduk menolak kerana mereka mahu membeli rumah dan bukannya menyewa.
Sementara itu, Shamsul Iskandar ketika dihubungi malaysiakini berkata, pihaknya tidak dihubungi penduduk Sungai Udang selepas mengadakan perjumpaan dengan mereka baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, terserahkan kepada penduduk terbabit untuk membuat keputusan terbaik untuk masa depan mereka.

