Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bubar DUN K'tan, gesaan paling lucu dan nakal'

ULASAN Sejujurnya saya ingin berkata bahawa cadangan Umno Kelantan menggesa PAS Kelantan membubar Dewan Undangan
Negeri (DUN) bagi diadakan pilihan raya peringkat negeri adalah gesaan paling lucu dan nakal.

Gesaan nafsu yang tidak sepadan dengan keupayaan dan kemampuan. Kerana Pulau Pinang sedang riuh memperkatakan
tentang pilihan raya mengejut, maka nafsu Umno Kelantan tiba-tiba naik.

Ianya ibarat lelaki yang belum pulih tenaga batin, belum dapat izin isteri pertama, sudah bertekad untuk menambah isteri dua
sekaligus... sungguh luar biasa nafsu seumpama ini.

Mungkin dorongannya adalah kerana PAS berpecah dan wujud AMANAH sebagai pemecah undi. Jika inilah perhitungannya, kalau dari sudut ilmu hisab, jawabnya dapat F lah.

Pertama, rakyat Kelantan mengundi berdasarkan perkembangan politik nasional.

Politik nasional buat masa ini amat kacau-bilau dengan berbagai isu. Jangan ingat menang pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar merupakan tanda aras sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) di seluruh negara.

Waktu BN kuat dan menang di seluruh negara, PAS tetap menang di Kelantan. Lupakah sejarah? Apatah lagi sekarang isuGST, 1MDB dan lain-lain sudah cukup.

Ratusan ribu rakyat Kelantan berada di Lembah Kelang.Sebab itu mereka dipengaruhi isu-isu nasional.

Umno Kelantan setiap kali kalah bila anak kelantan perantauan pulang mengundi. Rakyat Kelantan tidak kisah ada
pembangunan atau tidak.

Bagi duit dan apa jua bantuan yang diberikan, mereka ambil tetapi tetap undi PAS. Sehebat mana pun calon BN, ia bukan perhitungan bagi rakyat Kelantan.

Apatah lagi rakyat Kelantan senang hati tengok perilaku wakil PAS dari segi pakaian, pergaulan, sikap dan dekat dengan amalan hidup cara Islam atau kesukaan rakyat.

Ketereh, Machang dan Tanah Merah bernasib baik (dalam) PRU13 lawan simbol mata-Keadilan.Jika lawan Bulan, saya rasa belum tentu (menang).

Jeli calonnya menteri yang mempunyai segala keperluan yang cukup dan jumlah pengundi yang tidak begitu besar.

Gua Musang kerana pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah yang telah bertapak berpuluh tahun lamanya.

Itu pun tidak mudah untuk menang. Selain itu, apakah jentera BN sudah siap-siaga utk bertempur... atau mahu berlawan mengikut nafsu yang tidak cukup tenaga...

Kewujudan AMANAH tidak akan mengugat PAS Kelantan, nengikut hemah saya. Ianya tidak saperti Selangor atau Perak.

Perjalanan masih jauh untuk Umno/BN Kelantan bagi menumbangkan PAS Kelantan. Ibarat kata, macam orang kayuh basikal untuk datang ke Kuala Lumpur.

Eloklah yang mencadang supaya diadakan pilihan raya mengejut di negeri Kelantan itu mengkaji dengan teliti dahulu sebelum buka mulut, supaya tidak dilihat nafsu besar.

Sekadar bertukar pendapat.


Nota: DATUK IBRAHIM ALI adalah presiden PERKASA dan bekas ahli Parlimen Pasir Mas.

Lihat Komen
ADS