Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita Labuan jadi mangsa penipuan di FB
Diterbitkan:  Jul 30, 2016 3:31 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Seorang wanita kerugian RM18,000 selepas menjadi mangsa penipuan menerusi laman sosial Facebook akibat terperdaya
dimaklumkan menerima pakej hadiah serta wang tunai berjumlah AS$600,000 (RM2.4 juta) dari luar negara.

Ketua Polis Daerah Labuan Supt Adzhar Othman berkata ia bermula apabila wanita berusia 33 tahun itu, seorang penasihat jualan, berkenalan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagi Yong Liu.

Selepas berbual menerusi laman sosial dengan lelaki itu pada 10 Julai, suspek memberitahu akan menghantar satu bungkusan hadiah.

Menurut Adzhar, dua hari kemudian mangsa menerima panggilan dari seorang wanita kira-kira pukul 10.30 pagi yang memaklumkan ada bungkusan dari luar negara yang memerlukannya membayar cukai kastam.

"Selepas perbualan telefon itu, mangsa menerima satu sistem pesanan ringkas dari nombor sama yang mengarahkannya membayar RM4,500 menerusi satu akaun individu.

"Tanpa menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat bayaran itu kira-kira pukul 12 tengah hari," kata Adzhar.

Menurutnya, mangsa menerima satu lagi panggilan dari orang yang sama pada pukul 1.30 tengah hari, memintanya membuat bayaran tambahan RM13,500 selepas memberitahunya bungkusan hadiah itu ditahan kastam kerana mengandungi wang tunai dolar Amerika yang merupakan satu kesalahan.

"Mangsa sekali lagi memasukkan wang ke akaun itu dan pada 13 Julai, dia menerima satu lagi panggilan dari orang sama yang memberitahu bungkusan mengandungi AS$600,000 dan memintanya memasukkan RM150,000 ke dalam akaun sebuah syarikat.

"Ketika itu, wanita berkenaan baru sedar dirinya menjadi mangsa penipuan dan terus menelefon Jabatan Kastam Kelana Jaya yang memaklumkan dirinya menjadi mangsa penipuan serta menasihatkannya membuat laporan polis," katanya.

Adzhar berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Kesiksaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS