Putera Umno bukan sayap baru dalam parti tersebut tetapi akan merupakan sebuah biro yang bernaung di bawah Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Ketika menjelaskan demikian, Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Abdul Rahman Dahlan, berkata ia merupakan sebuah biro, sama seperti biro-biro lain, dalam pergerakan tersebut.

Oleh kerana ia bukan sayap baru, katanya, maka tiada borang khusus yang perlu diisi oleh individu yang ingin menyertai biro tersebut.

Menurut laporan Bernama , berikutan itu juga, katanya, tidak timbul sola mewujudkan jawatan ketua Putera Umno sama ada di peringkat bahagian, cawangan atau negeri.

"Yang ada hanyalah Pengerusi Biro Putera yang sama taraf dengan Pengerusi biro-biro yang lain di bawah kepimpinan dan pentadbiran Ketua Pemuda Umno Bahagian," katanya dalam sidang akhbar untuk menjelaskan kekeliruan tersebut, hari ini.

Putera Umno diilhamkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tahun lalu sebagai biro bagi mengadakan program untuk memenuhi citarasa belia berusia 18 hingga 25 tahun.

Sehingga ini 107,032 ahli Pemuda Umno yang berusia 18 hingga 25 tahun atau 16 peratus daripada jumlah keahlian pergerakan itu, seramai 645,057 orang, telah menyertai Biro Putera. Jumlah teramai dicatatkan di Selangor (18,402), diikuti Johor (12,843) dan Kelantan (11,415).

Usaha sama pintar

Katanya, kewujudan Biro Putera adalah sebagai pelengkap kepada biro-biro sedia ada seperti Biro Latihan dan Biro Sukan.

"Contohnya Biro Putera Umno boleh mencadangkan kepada Biro Belia untuk mengadakan program liga bola sepak untuk golongan 18-25 tahun. Oleh itu kedua-dua biro ini bertindak secara "usaha sama pintar", katanya.

Ditanya mengenai Akta Universiti dan Kolej yang melarang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit dalam parti politik, Abdul Rahman berkata, Biro Putera tidak akan mendekati golongan itu selaras dengan peraturan dan undang-undang tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, Biro Pemuda mensasarkan golongan belia yang tidak berpeluang ke IPT atau yang ingin terus menceburi dunia pekerjaan sebaik menamatkan persekolahan mereka.

"Setiap tahun, IPT hanya mampu mengambil 40,000 pelajar tetapi jumlah yang memohon melebihi 440,000 orang. Jadi mereka yang tidak dapat melanjutkan pengajian ini kita dekati supaya mereka tidak terlibat dalam gejala sosial yang tidak sihat," katanya.

Menurutnya, Biro Putera Umno mensasarkan penyertaan 500,000 belia dalam aktiviti anjuran biro tersebut menjelang hujung tahun ini, antaranya menubuhkan kelab motosikal untuk menjelajah sambil membuat kerja amal, gerak khas sebagai pasukan memasang poster dan menjaga keselamatan, terutama menjelang pilihan raya dan unit bantuan bencana untuk membantu dan menyelamat mangsa.

Selain itu, aktiviti mendekati golongan profesional pula diwujudkan untuk menjayakan program "mentor-menti" dan "unit renjer" yang akan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa.