Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
20 NGO lapor polis berhubung muzik video Namawee
Diterbitkan:  Jul 30, 2016 5:40 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Wakil daripada 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat 10 laporan polis di Balai Polis Jalan Patani di George Town berhubung muzik video oleh Namawee bertajuk 'Oh My God'.

Wakil gabungan NGO itu, Azdy Mohd Arshad berkata muzik video berdurasi empat minit itu dilihat tidak menghormati agama Islam.

"Kami telah membuat laporan polis berdasarkan lima karakter yang digunakan dalam muzik video itu yang menyebut perkataan Allah sebelum minum, azan telah dihina berulang kali, ia menunjukkan bahawa umat Islam adalah pengganas dan orang Islam yang memakai pakaian agama berjudi," katanya dalam sidang media di luar balai polis itu.

Azdy menegaskan bahawa tindakan penyanyi dalam muzik video itu tidak bermoral dan menyebabkan kemarahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Video itu didakwa dirakam di masjid Tanjung Bungah dan beberapa tempat ibadat agama lain.

Kira-kira 40 minit selepas membuat laporan polis, kumpulan NGO itu kemudian mengoyak imej Namawee dan memijak imej berkenaan sebagai simbol kemarahan.

Semalam, Ketua Polis negeri Datuk Abdul Ghafar Rajab telah memberi amaran kepada kumpulan itu supaya tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang seperti membakar imej Namawee.

Abdul Ghafar berkata polis juga telah memulakan siasatan berhubung muzik video itu di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS