Pemimpin muda PAS bakal dicalon untuk naib presiden
Terjemahan Naib Presiden PAS Datuk Mustafa Ali sedikitpun tidak merasa "tergugat" dengan usaha ahli di peringkat akar umbi parti itu untuk mencalonkan pemimpin muda bagi mengisi tiga jawatan naib presiden dalam pemilihan Jun ini.
Terjemahan Naib Presiden PAS Datuk Mustafa Ali sedikitpun tidak merasa "tergugat" dengan usaha ahli di peringkat akar umbi parti itu untuk mencalonkan pemimpin muda bagi mengisi tiga jawatan naib presiden dalam pemilihan Jun ini.
Sambil mengalu-alukan usaha untuk meletakkan pemimpin muda di barisan hadapan kepimpinan PAS, Mustafa berkata, beliau bersedia melepaskan jawatannya jika digantikan dengan pemimpin yang lebih baik.
"Saya tidak begitu mengikuti cakap-cakap mengenai pemilihan parti kerana beban kerja yang banyak, tetapi saya sedar ada usaha untuk mengetengahkan pemimpin muda untuk menggantikan pemimpin lama seperti kami.
"Tetapi sebenarnya, saya tidak ada masalah untuk memberi laluan kepada pemimpin muda dan lebih baik. Saya mengalu-alukan gesaan untuk melakukan perubahan terutama apabila ianya menguntungkan parti...inilah caranya bagi membolehkan parti melangkah ke hadapan," katanya kepada malaysiakini.
Sumber-sumber dalaman parti berkata, naib presiden sekarang telah hilang kekuatan dan ahli-ahli mahu melihat perubahan kerana mereka percaya langkah itu akan membantu prestasi parti dalam pilihanraya umum akan datang.
Langkah itu juga menunjukkan arus citarasa untuk perubahan yang dicetuskan oleh para perwakilan dalam muktamar tahun lalu berikutan kekalahan teruk parti itu dalam pilihanraya umum 2004.
Ia juga menunjukkan bahawa bukan jawatan timbalan presiden sahaja yang akan menjadi sasaran perwakilan dalam pemilihan kali ini, yang dijadualkan berlangsung di Kota Bharu mulai 1 hingga 5 Jun depan.
'Kami mahu melihat tindakan'
Seorang pemimpin Pemuda PAS dari Selangor berkata, ramai ahli merasakan penyandang jawatan naib presiden sekarang telah gagal mengemudikan parti itu mencapai kejayaan dalam pilihanraya umum lalu.
"Kita kalah dan kita juga tahu mengapa kita kalah. Kita telah memberitahu mereka setahun yang lalu bahawa kita mahu melihat tindakan diambil, untuk memperbaiki keadaan...tetapi selain Dr Hassan Ali, kita tidak melihat apa-apa dilakukan oleh dua (naib presiden) lagi (Mustafa dan Azizan Abdul Razak).
"Kita tidak boleh menunggu lagi. Masanya sudah tiba untuk terus melangkah kehadapan dan memilih pemimpin yang boleh membuahkan hasil," tambahnya.
Antara nama-nama yang disebut bakal dicalon mengisi jawatan tersebut ialah Setiausaha Agung PAS Nasharuddin Mat Isa, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohamad Sabu dan calon paling popular Husam Musa dari Kelantan yan setakat ini menerima pencalonan dari Kelana Jaya, Kapar dan Kuala Selangor.
"Husam telah membuktikan kemampuannya ketika menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian. Dia juga salah seorang pemimpin penting PAS di Kelantan. Kita memerlukan pemimpin seperti beliau yang bukan sahaja bijak berpidato, tetapi juga hasil daripada usaha-usahanya," kata seorang pekerja parti dari Kuala Lumpur.
"Malah, nama beliau berada dalam buku (Menteri Besar dan Mursyidul Am PAS) Nik Aziz (Nik Mat) dan ini menunjukkan prestasinya baik di dalam parti dan di dalam pentadbiran negeri," tambahnya.
Manakala seorang ahli politik dari Kelana Jaya pula berkata, parti itu memerlukan seorang pegawai kerajaan Kelantan untuk berada di barisan hadapan supaya menaikkan imej kerajaan negeri itu yang turut 'mencerminkan' potensi pentadbiran kerajaan pimpinan PAS.
"PAS perlu menunjukkan bahawa ia mampu menjadi sebuah kerajaan yang baik. Pada masa yang sama, kita perlu menaikkan imej kita untuk mengekalkan Kelantan demi survival politik kita. Tanpa Nik Aziz, PAS Kelantan tidak mempunyai sesiapa lagi untuk 'ditawarkan' kepada rakyat di sana. Pada masa ini beliau (Husam) merupakan pemimpin paling baik selepas selepas Nik Aziz," tambahnya.
Satu lagi perkembangan menarik ialah usaha untuk mencalonkan seorang pemimpin muslimat untuk mengisi salah satu jawatan naib presiden.
Menurut sumber-sumber parti, beberapa cawangan dikatakan akan mencalonkan muslimat untuk jawatan tersebut bagi menarik lebih ramai pengundi wanita yang dikatakan tidak menyokong PAS dalam pilihanraya umum lalu.
"Satu kajian baru-baru ini, yang dijalankan oleh seorang ahli akademik dari Universiti John Hopkins menunjukkan Barisan Nasional telah mendapat undi wanita. Jika kita mempunyai seorang pemimpin wanita berwibawa dalam lima jawatan tertinggi parti, ia menunjukkan kita terbuka terhadap kepimpinan wanita," katanya.
Beliau mencadangkan kepada cawangan-cawangan parti yang mengadakan mesyuarat tahunan mereka supaya menimbang mencalonkan ahli Jawatankuasa Pusat Dr Siti Mariah Mahmud untuk jawatan naib presiden.
"Beliau diterima baik oleh ahli-ahli jawatankuasa pusat. Beliau bersikap terbuka, jelas dan berdedikasi. Beliau telah membuktikan boleh mengendalikan tugas-tugas berat...Beliau adalah timbalan pengerusi jawatankuasa pilihanraya PAS dan merupakan pendokong utama sewaktu pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit...Beliau memang layak menyandang jawatan tersebut," kata satu sumber parti.
Layak jika berkemampuan
Sementara itu Siti Mariah ketika diberitahu mengenai perkembangan tersebut, berkata ia merupakan "suatu maklumat baru" baginya.
"Saya tidak mengetahui apa-apa mengenainya. Saya tidak fikir yang saya sudah bersedia untuk menyandang jawatan tersebut. Ia merupakan satu tanggungjawab berat," katanya.
Sambil menafikan idea tersebut mungkin tidak disukai pemimpin ulama dalam PAS, Siti Mariah berkata, pertimbangan utama di kalangan ahli apabila memilih pemimpin tidak didasarkan kepada jantina, tetapi kemampuan memimpin.
"Idea tersebut baik jika ada calon yang sesuai. Tiada salahnya bagi seorang wanita memegang jawatan tersebut...lagi pula, perlembagaan parti tidak menetapkan jawatan tersebut hanya untuk lelaki sahaja...tetapi pertimbangan utama ialah sama ada dia dapat memikul tugas tersebut. Jika orang tersebut kebetulan seorang wanita, maka dia layak bertanding jawatan tersebut. Sama ada menang atau kalah, itu terpulanglah kepada para perwakilan," tegasnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub berkata pemimpin dan ahli-ahli parti itu sentiasa bersikap terbuka untuk menerima wanita berada di pucuk kepimpinan parti.
"Ia bukan sesuatu yang baru kepada kita. Di Kelantan, kita mempunyai ahli Exco wanita, kita meletakkan calon wanita dalam pilihanraya umum yang lalu dan kami mempunyai senator wanita. Maka naib presiden wanita akan merupakan tambahan kepada senarai tersebut," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.