Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1,500 ahli Umno Sabah keluar parti, banyak cawangan tutup

Seramai kira-kira 1,500 anggota Umno cawangan dari bahagian Tenom, Sabah mengisytiharkan keluar parti semalam.

Kesemua mereka mengisytiharkan keluar parti pada majlis Irau Rakyat di Tenom sambil disaksikan oleh bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.

Mereka yang keluar daripada parti itu terdiri daripada pelbagai cawangan yang berada di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap dan Kemabung.

Sementara itu, Shafie ketika ditemui pemberita memberitahu, beliau menjangkakan lebih ramai lagi anggota Umno yang akan keluar parti tersebut.

Katanya, tindakan keluar beramai-ramai itu menunjukkan bahawa akar umbi parti di Sabah bukan hanya tidak berpuas hati terhadap pentadbiran Umno Pusat tetapi termasuk di peringkat negeri.

"Ini menampakkan bahawa hati mereka (anggota yang keluar parti) bukan hanya kerana keadaan pentadbiran Umno pusat tetapi juga di peringkat negeri.

"Saya yakin ini petanda bahawa kita boleh ubah (kepimpinan) negeri Sabah. Dan kesanggupan mereka untuk keluar parti itu menunjukkan bahawa mereka tahu, tanpa Umno mereka tak mati," katanya.

Selain itu, bekas pemimpin Umno cawangan Kanar Tanom, Nossil Basayu, 64, berkata beliau kini tidak percaya terhadap kepimpinan yang ada sekarang kerana pelbagai isu yang tidak dapat diatasi oleh mereka.

Menurut Nossil, antara isu yang tidak diambil peduli oleh pemimpin Umno negeri ialah isu yang melibatkan rakyat terutama di kawasan kampung.

"Kita di Umno parlimen Tenom sayang pada Umno tapi oleh kerana masalah yang banya tak dapat diatasi pucuk pimpinan, bila tak dapat atasi maka kesannya pada akar umbi. Mereka tak dapat atasi isu-isu yang membabitkan rakyat," katanya yang turut memberitahu Umno di cawangannya kini terbubar selepas ke semua 96 anggotanya isytihar keluar parti.

Malah, beliau turut memberitahu bahawa Shafie menjadi individu yang mendorong mereka untuk berani keluar daripada Umno.

Pada Julai lalu, Shafie mengumumkan keluar Umno selepas digantung keahlian daripada parti itu. Ia ekoran tindakannya yang dilihat lantang bersuara mengenai isu skandal 1MDB.

Ekoran itu, seramai 600 anggota Umno daripada 100 cawangan di bahagian Batu Sapi dilapor mengumumkan keluar parti serta-merta kerana tidak puas hati dengan layanan terhadap Shafie serta hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Umno dan presiden Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum itu juga, pada Jun, ADUN Sulabayan dari BN, Jaujan Sambakong mengumumkan keluar daripada Umno selepas Pengerusi Tetap Umno Semporna, Datu Eranza Datu Saribu bersama-sama dengan 19 ahli jawatankuasa dan akar umbi Umno Semporna turut melakukan tindakan sama.

Lihat Komen
ADS