Sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi riuh-rendah dengan bantahan daripada beberapa ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran P Komala Devi kerana tidak menjawab soalan yang dikemukakan.

Datuk Abdul Rahman Ariffin (BN-Jerlun) ketika mengemukakan soalan tambahan berkata setiausaha parlimen itu hanya perlu menjawab sama ada kementerian sedar atau tidak, pengagihan dan pengesahan bantuan seperti Kumpulan Wang Amanah pelajar miskin dan rancangan makanan tambahan, tidak melibatkan ahli parlimen, seperti yang dikemukakan dalam soalan asal.

"Cuma perlu jawab sedar ke, tak sedar, itu saja. Tak perlu panjang lebar," katanya.

Datuk Shahrir Samad (BN-Johor Bahru) pula mencadangkan menteri kabinet dimestikan hadir pada sesi perbahasan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong serta perbahasan belanjawan bagi menjawab segala isu yang dibangkitkan oleh anggota Parlimen.

"Ini adalah untuk memastikan cadangan masalah dan isu yang dibawa oleh wakil-wakil rakyat didengari dan diambil tindakan," katanya yang juga pengerusi kelab BBC.

Menurut laporan Bernama , Isu ketidakhadiran menteri untuk menjawab soalan mahupun menggulung perbahasan dibangkitkan sekali lagi hari ini ketika Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Tidak jawab soalan

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang bangun beberapa kali meminta penjelasan semasa Tengku Putera menggulung antara lain berkata timbalan menteri atau setiausaha parlimen seperti biasa tidak menjawab soalan yang dikemukakan.

"Kalau dah macam ni, macam mana saya nak balik ke kawasan saya dan jawab kepada rakyat," katanya.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menteri-menteri perlu hadir di sidang Dewan Rakyat untuk menjawab soalan yang dikemukakan sekiranya mereka tidak mempunyai perkara segera lain untuk dilakukan.

Pada masa yang sama, katanya Ahli Parlimen juga harus memahami bahawa menteri-menteri juga perlu melakukan tugas lain di tempat lain termasuk luar negara.

"...oleh itu kita perlu membenarkan keadaan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman web Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), di Bangunan Parlimen hari ini.

Najib diminta mengulas cadangan ahli-ahli Parlimen supaya mewajibkan menteri-menteri menjawab soalan-soalan penting semasa sesi soal-jawab serta menggulung perbahasan mengenai usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agung serta belanjawan.

Mereka juga menggesa menteri-menteri secara peribadi hadir untuk menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh mereka, dan tidak bergantung kepada timbalan menteri dan setiausaha parlimen yang mereka dakwa gagal memberikan jawapan yang memuaskan.