Kerajaan tidak boleh halang pasangan positif HIV berkahwin
Kerajaan tidak boleh menghalang pasangan yang ingin berkahwin daripada meneruskan niat mereka sekalipun ujian menunjukkan mereka positif HIV kerana perkahwinan adalah soal peribadi, kata Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Kerajaan tidak boleh menghalang pasangan yang ingin berkahwin daripada meneruskan niat mereka sekalipun ujian menunjukkan mereka positif HIV kerana perkahwinan adalah soal peribadi, kata Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
"Kalau kita merujuk kepada statistik yang ada di negeri Johor, seramai 125 orang daripada remaja yang telah menjalani ujian dan disahkan positif HIV, 80 orang daripadanya tetap meneruskan perkahwinan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, pasangan terbabit akan diwajibkan mengikuti kaunseling untuk mendapat maklumat mengenai penyakit itu seperti masalah yang mungkin timbul serta bagaimana untuk mengelakkan ia daripada berjangkit umpamanya dengan menggunakan kondom.
Menurut laporan Bernama , beliau menegaskan demikian ketika menjawab soalan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) dan Dr Junaidy Abdul Wahab (BN-Batu Pahat) sewaktu sesi soal-jawab di Dewan Negara pagi ini.
Bidang kuasa kerajaan negeri
Mashitah juga berkata soal peningkatan jangkitan baru khususnya kepada anak tidak timbul kerana terdapat kajian yang menunjukkan tidak semestinya pasangan yang positif HIV akan menjangkitkan penyakit itu kepada anak mereka.
Menurutnya lagi, kerajaan juga tidak boleh mewajibkan ujian HIV/AIDS bagi semua pasangan Islam yang akan berkahwin kerana ia termasuk di bawah urusan agama Islam yang terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan pusat menyerahkan kepada kerajaan negeri sama ada mahu melaksanakan langkah itu atau tidak, berdasarkan kesan yang dilihat di negeri Johor yang telah melaksanakannya.
"Kerajaan amat menggalakkan pasangan yang akan mendirikan rumahtangga untuk menjalani ujian kesihatan khususnya bagi penghidap AIDS, sepertimana yang dilaksanakan di negeri Johor, manakala di negeri Perlis ia masih di peringkat (awal) pelaksanaan," katanya menjawab soalan Dr Junaidy.
Menjawab soalan tambahan wakil yang sama, Mashitah berkata walaupun ujian itu diwajibkan, ia tidak dapat menghalang pasangan yang disahkan menghidap HIV daripada berkahwin.

