Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib menafikan dakwaan bahawa projek Sistem Pembesaran Sungai Hibrid (Horas) di Sungai Selangor untuk menampung bekalan air kini terbengkalai.

Sebaliknya, Zaidy berkata meskipun pelaksanaan projek tersebut baru sahaja siap di beberapa peringkat, ia terbukti berkesan menangani kemarau panjang di negeri itu baru-baru ini.

“Antara faktor kita mampu tangani masalah musim kering ini adalah kerana adanya projek Horas 600 bersama kolam takungan sekitarnya yang mampu keluarkan air ke sungai sehingga cecah 800 juta liter air sehari.

“Horas 600 telah berperanan dan telah buktikan kejayaannya serta beri impak besar pada kerajaan negeri mengatasi musim kering awal tahun ini,” tegas Zaidy pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan berkaitan status terkini projek tersebut.

Zaidy yang juga ADUN Taman Templer berkata pada ketika ini kerajaan negeri sudah melantik Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bagi tujuan pengorekan kolam utama yang merangkumi tiga seksyen.

Katanya, seksyen pertama melibatkan kawasan seluas 48 hektar dengan kerja pengorekan mencapai paras kedalaman 13 hingga 15 meter yang telah siap sepenuhnya.

Sesyen dua melibatkan kawasan Taman Burung dan kerja-kerja pengorekan yang dijangka siap pada akhir Ogos 2016. Manakala seksyen tiga kini mencapai 30 peratus dan perlu disiapkan sepenuhnya pada Disember 2017.

Projek Horas dimulakan pada Mac 2014 bagi menambah bekalan air mentah di Lembah Klang, terutama pada musim kering atau kemarau.

Projek itu merupakan gabungan sistem penakungan lebihan air daripada penggunaan loji rawatan serta air hujan dan penakungan air bawah tanah membabitkan pembinaan kolam takungan seluas 166 hektar dengan kedalaman 23.5 meter.