M'sia, Indonesia, Filipina terokai konsep 'mata di langit'
Malaysia, Indonesia dan Filipina bersetuju untuk mencapai kemungkinan 'memasuki' perairan maritim jiran mereka bagi menangani cabaran keselamatan semasa di rantau ini.
Ketiga-tiga negara juga mahu melihat perkongsian perisikan peringkat tinggi selain mengadakan latihan keselamatan maritim di kawasan keprihatinan bersama.
Perkara ini terkandung dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan susulan mesyuarat menteri pertahanan tiga pihak di Bali, Indonesia semalam.
Mesyuarat dihadiri Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pertahanan Indonesia, Jen (B) Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Kebangsaan Filipina, Delfin N Lorenzana.
"Para menteri membangkitkan keprihatinan mengenai insiden berulang rompakan bersenjata di laut dan penculikan oleh kumpulan radikal di kawasan maritim bersama," kata kenyataan itu.
Ia berkata para menteri berkenaan turut memperkukuh komitmen dan keperluan memberi respons secara kolektif ketiga-tiga negara dalam menangani ancaman sedemikian.
Mereka bersetuju untuk meneroka lebih lanjut prosedur pengoperasian standard (SOP) mentadbir koridor transit, pengawasan laut, konsep perondaan Selat Melaka (MSP) dan konsep 'mata di langit'.
Ketiga-tiga negara juga melihat kemungkinan pemasangan mandatori Sistem Pengenalan Automatik kepada semua vesel yang belayar di koridor transit.
Turut dilihat ialah menyelaras aktiviti tiga pihak dalam kalangan angkatan tentera, kata kenyataan tersebut.
Yang akan turut dibuat kajian seterusnya ialah mengadakan pegawai perhubungan dalam pusat pemerintah kenteraan masing-masing bagi menyelaras, berkongsi maklumat dan kesedaran domain maritim.
Sebagai tambahan, para menteri berkenaan menekankan pendirian mereka untuk memerangi keganasan ekstrem dan keganasan yang dilakuan pertubuhan seperti Daesh.
- Bernama

