Parti Keadilan Nasional dan DAP hari ini menyokong cadangan konsortium lima ahli perniagaan Cina untuk membeli semua saham Nanyang Press Holdings daripada MCA.

Pengerusi DAP Lim Kit Siang berkata konsortium itu perlu bertindak sebagai pemegang amanah kepada masyarakat Cina bagi menjamin kebebasan akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press .

"(Oleh itu) tidak seharusnya seorang pelabur atau sesebuah syarikat boleh memiliki lebih daripada lima hingga 10 peratus saham dalam Nanyang," katanya.

Semalam, kumpulan itu yang diketuai ahli perniagaan terkemuka Lim Guan Teik mengumumkan pembelian itu pada harga RM5.60 seunit saham bagi 72.35 peratus pegangan dalam syarikat yang diambil alih oleh MCA bulan lalu. Parti itu mengambil alih Nanyang dengan harga RM5.50 seunit daripada Hume Industries.

Dalam kenyataan konsortium itu semalam, separuh pembayaran daripada jumlah RM234.3 juta akan dibuat secara tunai dan selebihnya melalui pinjaman bank.

Empat lagi ahli perniagaan yang terbabit dengan pembelian itu adalah Presiden Persatuan Hakka Perak Foo Wan Thot, Pengerusi Persatuan Jawatankuasa Bersatu Sekolah Cina Malaysia Kuek Suan Hiang, Presiden Dewan Perhimpunan Cina Selangor Ngan Ching Wen dan naib presidennya Tan Yew Sing.

Pemuda Parti Keadilan Nasional pula berkata pembelian itu dapat mengelakkan kumpulan media berbahasa Cina itu dikuasai parti politik.

"Parti poltik yang cuba mengongkong media awam dan menjadikannya sebagai alat untuk mencapai kepentingan politik sesebuah parti itu adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab," kata Naib Ketua Pemuda Low Chee Chong.

Parti itu juga mengkritik Presiden MCA Datuk Seri Ling Liong Sik yang mendedahkan pengambilalihan Nanyang bertujuan politik walau pada awalnya berhujah urusan itu "semata-mata berasaskan perniagaan."