Penduduk Semenanjung, S'wak tidak perlu pasport lawat Sabah
Penduduk Semenanjung dan Sarawak tidak lagi perlu menggunakan pasport untuk melawat Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.
Penduduk Semenanjung dan Sarawak tidak lagi perlu menggunakan pasport untuk melawat Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.
Ketika mengumumkan perkara tersebut, beliau berkata perkara tersebut telah diputuskan oleh Kabinet negeri dalam mesyuaratnya hari ini.
Menurut laporan Bernama , beliau berkata, penduduk Semenanjung dan Sarawak hanya perlu mengemukakan kad pengenalan dan mengisi borang IMM14 sehingga perisian untuk MyKad dapat disediakan.
"Kerajaan Sabah akan menyediakan perisian ini dan ia akan dilaksanakan secepat mungkin. Selepas itu, penduduk Semenanjung dan Sarawak yang ingin berkunjung ke Sabah hanya perlu menggunakan MyKad dan tidak perlu lagi mengisi borang IMM14.
"Perisian ini masih mengekalkan hak Sabah bagi menghalang sesiapa sahaja yang difikirkan tidak layak memasuki negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri di Wisma Innoprise, dekat Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, katanya, mereka perlu menggunakan pasport dan memperolehi pas kerja sekiranya ingin bekerja atau menjalankan perniagaan di negeri ini.
Jangan dipolitikkan
Borang IMM14 perlu diisi semasa memasuki Sabah dan diserahkan kembali kepada kaunter Jabatan Imigresen sebelum meninggalkan Sabah atau jika tidak ingin mengisi borang IMM14, mereka boleh menggunakan pasport untuk urusan keluar masuk.
Sehubungan itu, beliau berharap isu penggunaan MyKad itu tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
"Saya juga meminta media tidak besar-besarkan isu ini. Sekarang pun, kita tidak ada masalah. Penduduk Semenanjung dan Sarawak hanya perlu mengemukakkan kad pengenalan dan mengisi borang IMM14 untuk datang ke sini.
"Cuma ada badan tertentu ... menyekat kemasukan peguam dari Semenanjung ke negeri ini...bukan kerana mereka takut tetapi sudah terlalu banyak peguam di Sabah dan mungkin ia boleh menjejaskan mata pencarian mereka," katanya.
Mengenai agenda sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang bermula 15 April ini, Musa berkata dewan dijangka membahaskan ucapan dasar kerajaan oleh Yang Dipertua Negeri dan belanjawan tambahan.

