Majikan yang membawa masuk pekerja baru melalui 13 pusat khidmat sehenti (ORC) di Indonesia dan Filipina diberi kelonggaran untuk menangguhkan pembayaran levi bagi pekerja masing-masing.

Kelonggaran syarat tersebut dibuat sebagai memudahkan urusan membawa mereka (pekerja asing) masuk dengan cepat, teratur dan terkawal, Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen Datuk Ishak Muhammad.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Putrajaya hari ini, beliau berkata, bayaran levi itu perlu dijelaskan dalam tempoh sebulan selepas pekerja itu dibawa masuk.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata kelonggaran itu juga bagi memenuhi keperluan pekerja asing dalam pelbagai sektor di negara ini, sekurang-kurangnya sama dengan jumlah pekerja asing yang telah pulang ke negara masing-masing.

Sebelum ini, kelonggaran itu diberikan kepada pekerja asing yang pulang menerusi program pengampunan bagi mempercepatkan kemasukan semula mereka manakala pekerja baru yang ingin bekerja di negara ini perlu melalui proses biasa.

Bayaran levi itu berbeza-beza mengikut sektor, misalnya bagi sektor binaan, setiap pekerja dikenakan RM1,200 seorang.

Tarik balik pembekuan

Ishak juga berkata 382,082 pendatang asing tanpa izin telah dihantar pulang ke negara masing-masing menerusi program pengampunan tetapi hanya 13,392 orang yang masuk semula sebagai pekerja sah.

"Daripada jumlah itu, 13,309 merupakan pekerja Indonesia manakala selebihnya adalah warga Filipina. Kebanyakannya adalah pekerja bagi sektor perladangan yang berjumlah 9,128 orang," katanya.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penarikan balik pembekuan pengambilan pekerja asing baru yang berkuatkuasa Februari lalu bagi menangani keperluan mendesak tenaga kerja dalam pelbagai sektor di negara ini.

Langkah menarik balik pembekuan itu bermakna semua pekerja dari negara sumber sama ada yang pulang menerusi program pengampunan atau pekerja baru dibenarkan masuk berkuatkuasa serta-merta.

Ishak berkata majikan perlu mengambil kesempatan menggunakan kemudahan yang disediakan di 11 ORC di Indonesia dan dua di Filipina yang dijadualkan berakhir pada akhir Mei ini.

Ini kerana kedudukan ORC, yang beroperasi selama tiga bulan sejak Mac lalu, akan dinilai semula sama ada untuk diteruskan atau tidak, katanya.