Apakah Ambrin, PAC akan contohi Deloitte, soal Lim
Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Sing bertanya apakah Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan mengikuti jejak langkah Deloitte yang segera bertindak balas dalam saman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan rampasan aset berhubung 1MDB.
Baru-baru ini, Deloitte Malaysia berkata, maklumat dalam saman DOJ itu menjejaskan audit syarikat pelaburan negara itu bagi tahun 2013 dan 2014.
Oleh itu, kenyataan kewangan 1MDB pada tahun-tahun itu, yang ditandatangani Deloitte pada 28 Mac 2014 dan 5 November 2014 tidak boleh lagi digunakan, kata firma audit itu dalam kenyataan.
"Soalan sekarang ialah bagaimana aduan dan maklumat DOJ itu memberi kesan kepada laporan mengenai 1MDB yang disediakan oleh Ketua Audit Negara dan PAC sebelum ini.
"Apakah Ketua Audit Negara dan PAC akan membuka semula siasatan ke atas 1MDB berhubung maklumat yang dinyatakan dalam aduan DOJ itu, kata Lim dalam kenyataan, hari ini.
Lim membandingkan reaksi Deloitte dengan sikap acuh tak acuh Putrajaya mengenai tindakan DOJ itu.
Sebelum ini, Ambrin dilaporkan enggan mengulas apabila ditanya mengenai saman sivil oleh DOJ untuk menyita dan merampas semula aset yang didakwa berasal daripada dana yang dialihkan daripada 1MDB.
Ketika ditemui Malaysiakini di luar mahkamah selepas perbicaraan membabitkan Rafizi Ramli, baru-baru ini, Ambrin secara tertib menjawab "tiada komen" berhubung saman sivil yang difailkan di Amerika Syarikat itu.
Mengulas lanjut, Lim menambah, keingkaran Deloitte itu merupakan satu tamparan besar kepada pendirian kerajaan Malaysia pada dasarnya mengabaikan aduan DOJ dan mengamalkan sikap 'tunggu dan lihat'.

