Beberapa pemimpin politik, termasuk dari Umno, mahu pemimpin yang melakukan rasuah diheret ke mahkamah tidak kira sama ada mereka melakukannya sekarang atau sebelum pilihanraya umum lalu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Nordiana Shafie berkata, jika kerajaan mempunyai bukti mereka melakukan rasuah, maka tiada sebab untuk memberikan 'perlindungan' kepada mereka.

"Dakwaan bahawa mereka yang telah lama melakukannya, seperti sebelum pilihanraya lalu, umpamanya, tidak perlu disiasat, tidak boleh diterima dan ini bukan caranya untuk memerangi rasuah. Baru atau tidak, pesalah tetap perlu dihukum," katanya.

Beliau menambah, jika ada aduan terhadap mereka, kerajaan, terutama Badan Pencegah Rasuah (BPR) perlu menjalankan siasatan untuk mengenalpasti sama ada pemimpin tersebut melakukan rasuah atau sebaliknya.

"Ini perlu dibuat bukan sahaja kepada pemimpin sedia ada, tetapi terhadap pemimpin yang didakwa telah melakukan kesalahan tersebut pada masa lalu," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam sebuah media antarabangsa sebelum ini, bahawa BPR tidak perlu lagi menyiasat kes rasuah yang lama.

Akhbar International Herald Tribune keluaran 29 Mac lalu, memetik Khairy sebagai berkata, kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap kes-kes rasuah yang berlaku sebelum pilihan raya umum tahun lalu.

Perkara tersebut telah dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang di sidang Dewan Rakyat. Ketika menjawab soalan Lim itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kerajaan tidak memberi sebarang "immuniti" kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam rasuah "sama ada mereka ikan yu atau ikan kecil".

Menurut Nordiana lagi, jika tidak, usaha kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membasmi rasuah, tidak akan berkesan.

Dua undang-undang rasuah?

Manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula menyelar kenyataan Khairy yang disifatkannya sebagai cuba melindungi pemimpin Barisan Nasional (BN) yang melakukan rasuah sebelum ini.

Beliau berkata, mereka yang terlibat dengan kesalahan rasuah boleh disiasat dan seterusnya dibicarakan di mahkamah, meskipun telah melakukan rasuah 20 tahun yang lalu.

"Ia berbeza dengan kesalahan sivil kerana ia cuma boleh didakwa dalam tempoh enam tahun selepas mereka melakukan kesalahan tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.

Guan Eng berkata, jika kenyataan Khairy itu diterima, ia bermakna Malaysia mempunyai dua jenis undang-undang, iaitu satu untuk Barisan Nasional (BN) dan satu lagi untuk rakyat.

"Kalau pemimpin BN melakukan rasuah mereka boleh dilindungi dan jika rakyat terlibat ia didakwa dan dihukum," katanya lagi.

Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Md Akin pula berkata, melindungi pemimpin yang melakukan rasuah akan menggalakkan lagi rasuah di kalangan masyarakat negara ini.

Katanya, Perdana Menteri perlu mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang terlibat dengan rasuah sama ada mereka melakukannya dahulu atau sekarang.

"Pemuda PKR meminta Datuk Seri Abdullah mengisytiharkan rasuah sebagai musuh nombor satu negara dan berikrar bertindak terhadap mana-mana pesalah kepada yang baru atau lama," katanya.

Reaksi Khairy

Sementara itu Khairy, dalam reaksinya terhadap isu tersebut di dalam Agenda Daily berkata, beliau tidak ada mengunakan istilah memberi kekebalan atau immuniti kepada mereka yang melakukan rasuah di masa lampau dalam interbiunya dengan International Herald Tribune .

"Jika anda membaca interbiu itu, yang jelas saya maksudkan ialah kita sekarang harus fokus perhatian melihat ke depan untuk maju dan tidak terlalu dihantui oleh hal-hal yang lampau," katanya dalam laporan Agenda Daily tersebut.

Menurut Khairy lagi, penyiasatan mengenai rasuah memakan masa melibatkan banyak perkara termasuk soal tidak cukup bukti dan sebagainya.

"Kita tahu semua orang ingin melihat tokoh politik diheret ke mahkamah kerana rasuah dan sebagainya. Pendirian saya maupun Pemuda Umno dalam soal memerangi rasuah yang dilakukan sekarang atau masa lampau tidak berubah dan tetap sama.Ada bukti dakwa," katanya.

Ditanya tidakkah kekeliruan itu berbangkit kerana akhbar berkenaan tidak memetik lebih terperinci kenyataan mengenai hal ini, Khairy berkata" "Bagi saya laporan itu jelas dan saya tidak menyebut langsung perkataan memberi kekebalan. Biasalah pembangkang nak cari kesalahan saya."