Terjemahan Pengerusi DAP Karpal Singh tidak dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat sekarang kerana beliau masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan selepas terbabit dalam satu kemalangan jalanraya Januari lalu.

"Saya tidak fikir beliau dapat menghadiri sidang kali ini, kerana masih belum dapat bergerak, sedangkan hanya tinggal tiga minggu sahaja lagi," kata Ketua DAP Pulau Pinang, yang juga Ahli Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow kepada malaysiakini semalam.

Persidangan Dewan Rakyat bermula 21 Mac lalu dan dijadualkan berakhir pada 28 April depan.

Sebelum ini, Karpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor MP, dijangka pulih daripada kecederaannya dan dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat kali ini selepas berakhirnya tempoh penggantungannya selama enam bulan.

September lalu, Karpal digantung daripada menghadiri sidang dewan selama enam bulan kerana didapati telah mengelirukan Dewan Rakyat berhubung majlis angkat sumpah Ahli Parlimen.

Tempoh penggantungan itu berakhir apabila Dewan Rakyat bersidang semula pada 21 Mac lalu.

Kemalangan itu berlaku ketika Karpal sedang dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbang Bayan Lepas pada malam 28 Januari lalu, apabila teksi yang membawanya dilanggarkan oleh kenderaan lain.

Berikutan itu, beliau dirawat untuk cederaan di bahagian leher dan belakang di Pusat Perubatan Gleneagles di Pulau Pinang, sebelum dipindahkan keluarganya ke Pusat Pakar Loh Guan Lye kerana terlalu ramai yang menziarahi beliau.