Mitos 'kuasa terkawal' MKN
ULASAN Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah memulakan operasinya pada 1 Ogos lepas.
Ini walaupun selepas akta terbabit ditafsir gagal mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong berikutan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang mengingkari permintaan Majlis Raja-raja supaya akta terbabit untuk diperhalusi terlebih dahulu.
Jadi mengapa pentadbiran Najib tetap berkeras untuk meneruskannya?
Pendukung-pendukung MKN sering menggambarkan undang-undang zalim ini sebagai kuasa yang ‘perlu dan terkawal’.
Perlu dalam kata ia bertujuan membasmi anasir-anasir yang boleh mengancam keselamatan dan terkawal pula kerana ia digunakan hanya dalam konteks untuk menjaga keamanan.
Mitos ini boleh disanggah, sekali gus membuktikan mengapa akta MKN membawa kita selangkah ke arah kediktatoran.
Bahasa longgar
Seksyen 18(1) menggariskan beberapa situasi yang dapat mengaktifkan bidang kuasa MKN.
Situasi yang dimaksudkan ialah apabila Majlis Keselamatan Negara (dipengerusikan sendiri perdana menteri!) menasihatkan perdana menteri yang terdapat bahaya atau kemungkinan bahaya kepada orang ramai, wilayah, ekonomi, infrastruktur atau apa-apa kepentingan Malaysia yang lain.
Penggunaan bahasa yang luas ini dikhuatiri membolehkan kerajaan secara mudah mengklasifikasikan apa-apa situasi sebagai ancaman negara, sekali gus menggunakan MKN untuk tujuan selain menjaga keamanan.
Sekiranya ia berlaku, MKN boleh menjadi senjata yang efektif bagi kerajaan untuk menekan pihak-pihak yang cuba mencabar (walaupun secara demokratik) pentadbirannya.
Contoh mudah berkaitan cadangan penganjuran BERSIH 5 dalam masa terdekat.
Secara hipotesis, penganjuran perhimpunan aman seperti BERSIH yang juga hak rakyat yang termaktub dalam Peruntukan 10 perlembagaan, boleh dihalang dengan mudah dengan MKN.
Perdana menteri hanya perlu mewartakan lokasi perhimpunan sebagai 'kawasan keselamatan’ dengan alasan perhimpunan aman mengancam aktiviti ekonomi dan keselamatan awam.
Itu bukanlah sukar kerana retorik-retorik seperti ini sudah pun dimainkan pemimpin-pemimpin parti pemerintah terhadap BERSIH.
Dengan pewartaan, kerajaan boleh menguatkuasakan perintah berkurung, sekali gus menghalang penyertaan orang awam.
Malahan, pihak berkuasa boleh diarah untuk menggunakan kekerasan kepada peserta sekiranya penganjuran tetap diteruskan, di samping merampas aset-aset yang dimiliki oleh penganjur.
Semua ini boleh dilakukan kerajaan menurut peruntukan undang-undang seperti yang termaktub dalam akta MKN!
Inilah maksudnya MKN berpotensi menjadi senjata kediktatoran.
Mungkin ada yang menganggap perkara ini hanya berprasangka dan andaian hujah.
Hanya kerana ruang penyelewengan ada, belum tentu ia akan betul-betul disalah guna.
Namun rekod menunjukkan kerisauan ini adalah sesuatu yang munasabah. Dalam kes ini, perlaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) harus diteliti kembali.
Sebelum pemansuhannya pada 2011, ISA memperuntukkan kuasa yang besar kepada menteri dalam negeri, termasuk kuasa untuk melakukan penahanan tanpa bicara.
Seperti MKN, ISA turut menggunakan bahasa yang luas seperti kuasa untuk membuat tangkapan sekiranya menteri ‘berpuas hati’ ia boleh mencegah “mudarat kepada keselamatan negara”.
Pada tahun 2001, lima individu (termasuk Saari Sungib, Tian Chua dan aktivis Hishamudin Rais) ditahan bawah ISA kerana didakwa menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
Merasakan berlaku penyalahgunaan kuasa, lima individu terbabit memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia.
Dan akhirnya terbukti berlaku penyelewengan apabila Mahkamah Persekutuan mengarahkan kerajaan Malaysia membayar kelima-lima mereka pampasan RM10,000 untuk setiap hari mereka berada dalam tahanan.
Untuk rekod, kelima-lima mereka ialah aktivis penting dalam gerakan reformasi yang lantang menolak pemerintahan Mahathir pada tahun 1998-2001.
Ini maksudnya terdapat bukti menunjukkan kerajaan menggunakan alasan menjaga keamanan untuk menekan musuh politiknya!
Dan MKN akan memungkinkan perkara itu untuk berulang.
Ini adalah salah hujah bahawa pelaksanaan MKN mampu mengheret Malaysia kepada kedikdatoran, bukan sekadar andaian kosong tetapi satu keberangkalian bersebab yang membimbangkan.
#TakNakDiktator #TolakMKN
AHMAD HAMIDI ABDUL RAHIM seorang lepasan undang-undang daripada Universiti Monash, Melbourne. Beliau sedang mengikuti Keadilan Executive Internship Program.

