Dua lagi pemimpin Umno bahagian dikenakan tindakan oleh jawatankuasa disiplin parti itu kerana didapati bersalah terbabit dalam politik wang sewaktu pemilihan parti tahun lalu.

Mereka ialah Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim dan Ketua Umno Lembah Pantai, Datuk Shahrir Abdul Jalil.

Bagaimanapun, Zaid hanya diberi amaran oleh jawatankuasa tersebut, tetapi Shahrir dikenakan hukuman lebih berat apabila digantung keahlian selama tiga tahun.

Mengikut Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen, Zaid yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu didapati bersalah mengikut Seksyen 2.2 etika pemilihan parti.

Sewaktu pemilihan pucuk pimpinan pusat September lalu, Zaid telah menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Naib Presiden parti.

Adik Shahrizat

Bagaimanapun, hasratnya tidak kesampaian apabila beliau hanya mampu mendapat satu pencalonan daripada bahagiannya sendiri di Kota Bharu.

Calon yang ingin bertanding jawatan tersebut mesti memperolehi sekurang-kurangnya 20 pencalonan dari bahagian Umno untuk layak bertanding jawatan tersebut.

Manakala Shahrir pula adalah adik kepada Menteri Pembangunan Keluarga dan Wanita Datuk Shahrizat Abdul Jalil Wanita Abdul Jalil, yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithaudeen ketika mengumumkan keputusan tersebut berkata, Zaid didapati bersalah kerana menggunakan khidmat agen ketika pemilihan tersebut.

Shahrir pula, katanya Tengku Rithauddeen didapati bersalah kerana menganjurkan mesyuarat dan majlis-majlis menjelang pemilihan pucuk parti.

.