Tiga beranak maut dalam kemalangan di Skudai
Seorang ibu bersama dua anak lelakinya maut manakala dua lagi anak lelakinya cedera apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Bukit Impian, Taman Impian Emas, Skudai, di Johor Bahru malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata dalam kemalangan itu, Suriani Musa, 44, bersama dua anaknya, Mohamad Syakir Shamsudin, 11, dan Mohamad Saufi Shamsudin, 8, meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, dua anak lelakinya yang lain, Mohamad Syauqi Shamsudin, 19, cedera parah manakala Mohamad Syazwan Shamsudin, 21, cedera ringan, dan masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah di sini, kata beliau dalam satu kenyataan malam tadi.
"Dalam kejadian lebih kurang jam 7.05 malam tadi, Mohamad Syazwan yang memandu kereta jenis Proton Satria itu hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar penghadang jalan dan sebatang pokok yang berada di kiri Jalan Bukit Impian," katanya.
Mohd Taib berkata hasil siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan itu.
Kes masih dalam siasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Bernama

