Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Shahrir Abdul Jalil mendakwa beliau tidak melanggarkan sebarang peraturan pemilihan Umno, sepertimana dakwaan yang dibuat terhadapnya, dalam pemilihan parti itu tahun lalu.

"Semasa musim pemilihan Umno Bahagian Lembah Pantai tahun lalu, saya tidak mengadakan majlis kenduri, baik di rumah saya atau di tempat lain, berkempen, membuat ucapan serta membeli perwakilan," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Beliau digantung keahlian selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno yang mendapatinya bersalah kerana mengadakan jamuan di rumahnya di Petaling Jaya dengan tujuan untuk mempengaruhi perwakilan supaya mengundinya bagi jawatan Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai pada pemilihan Julai lalu.

"Ahli-ahli Umno Lembah Pantai datang ke rumah saya, jadi saya terpaksa menyediakan makan minum untuk mereka. Ini adat orang Melayu dan inilah juga yang saya lakukan.

"Sepanjang pemilihan, saya tidak menghadiri mana-mana majlis keramaian, melainkan berkurung dalam rumah kerana tidak mahu mempengaruhi perwakilan supaya menyokong saya untuk jawatan ketua bahagian ," katanya lagi.

Selain Shahrir, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Zaid Ibrahim turut didapati bersalah membabitkan politik wang semasa kempen pemilihan lalu, tetapi hanya diberi amaran.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithaudeen Ismail.

Membuat rayuan

Shahrir yang juga adik kepada Menteri Pembangunan Keluarga dan Wanita memenangi jawatan Ketua Bahagian Lembah Pantai, setelah mengalahkan penyandangnya, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin dalam pertandingan satu lawan satu.

Beliau yang juga seorang peguam, mendakwa orang yang menentangnya dalam pertandingan tersebut membuat laporan kepada Lembaga Disiplin Umno dengan mengatakan beliau terlibat dengan politik wang dalam pemilihan peringkat Bahagian Lembah Pantai.

"Masalahnya di Bahagian Lembah Pantai ialah adanya kelompok tertentu yang menganggap bahagian ini adalah untuk mereka selama-lamanya," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut tidak lama lagi.

Sementara, Zaid yang dihubungi mengatakan beliau terkejut dengan amaran yang diberikan oleh Lembaga Disiplin Umno terhadap dirinya.

"Tidak ada apa yang mahu saya katakan melainkan saya tidak melakukan apa yang mereka katakan," katanya.

Beliau berkata, amaran tersebut memberi kesan kepada kewibawaan dirinya.