Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin membidas nada tuduhan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) seolah-olah Putrajaya adalah pihak yang bersalah dalam saman sivil yang difailkannya berkaitan dengan 1MDB.

Katanya, sidang akhbar mereka dua minggu lalu mengenai 1MDB adalah untuk membentangkan hasil siasatannya selama setahun, tetapi nada bahasa yang digunakan seolah-oleh Putrajaya telah pun disabitkan.

"Tapi cara mengumum (penemuan mereka) seolah-olah dihukum, seolah-olah (mereka yang dinamakan) sudah bersalah dan dihukum.

"Perkataan yang digunakan seolah-olah Malaysia salah, kerajaan salah," kata Khairy di persidangan tahunan Pemuda dan Puteri Umno Sepang malam tadi.

Menurut Khairy, ia bercanggah dengan konsep "tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah".

DOJ Pada 20 Jun lalu mengumumkan bahawa ia telah memulakan saman sivil untuk merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion yang didakwa diperolehi menggunakan dana yang "dicuri" dari 1MDB.

Antara yang dinamakan dalam saman itu ialah anak tiri Perdana Menteri Najib Razak, Riza Aziz dan hartawan kelahiran Pulau Pinang Jho Low.

DOJ mendakwa kedua-duanya bersama dengan beberapa yang lain, termasuk seorang pegawai tinggi awam yang dikenal pasti sebagai "Malaysian Official 1", telah mendapat manfaat daripada lebih AS$3.5 bilion yang didakwa digelapkan dari 1MDB.

Khairy menegaskan bahawa tindakan DOJ itu tidak ada kena mengena dengan kerajaan Malaysia atau ianya melibat secara langsung Najib atau 1MDB.

Beliau juga berkata, mereka yang dinamakan dalam saman akan membela diri di mahkamah terhadap tuduhan tersebut.

Oleh itu, kata Khairy, tuntutan supaya Najib untuk berundur adalah tidak wajar.

"Tuduhan hasil siasatan belum dibuktikan lagi, tiba-tiba cakap mesti letak jawatan dan macam-macam lagi.

"Saya tidak boleh terima kerana ini (adalah) kerajaan yang dapat mandat dari rakyat. Perdana menteri dapat mandat dari rakyat."

Menurutnya lagi, mereka yang ingin menukar kerajaan persekutuan perlu menunggu pilihan raya umum yang akan datang dan bukannya mengambil jalan keluar dengan campur tangan asing atau untuk demonstrasi.

Bagi Pemuda dan Puteri, kata Khairy, mereka perlu "kekal setia dan melindungi" Najib sebagai presiden parti mereka selagi beliau tidak melaku sebarang kesalahan.

[Baca berita penuh]