Terjemahan Adalah mustahil bagi kerajaan Selangor untuk menyediakan tanah kepada 72 penduduk rumah panjang dari Rawang yang mendakwa, telah dijanjikan kepada mereka 14 tahun yang lalu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo hari ini.

Katanya, kerajaan negeri telah berusaha sedaya upayanya untuk menawarkan rumah pangsa pada harga istimewa RM28,000 seunit yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menurutnya, beliau telah 'memaksa' PKNS supaya mengendalikan projek tersebut selepas pemaju sebelumnya telah diisytiharkan muflis.

"PKNS merupakan syarikat yang menyelamatkan projek tersebut kerana pemaju sebelumnya telah muflis. Kos bagi seunit flat tersebut ialah RM57,000. PKNS menanggung kerugian kerana menawarkan kepada mereka pada harga RM28,000 seunit," katanya dalam sidang akhbar sewaktu sesi bersama rakyat di Subang Jaya.

Menjelaskan lebih lanjutnya mengenainya, Dr Mohd Khir berkata, kerajaan negeri tidak dapat menawarkan tanah kepada mereka kerana jumlah setinggan yang semakin meningkat di Selangor.

"Mereka boleh menolak tawaran itu. Kemudian kita akan menjual rumah itu kepada orang ramai," katanya.

Seramai 72 penduduk terbabit adalah antara 292 orang yang telah dipindahkan dari rumah setinggan mereka di sepanjang landasan keretapi Sungai Buloh pada tahun 1992.

Mereka mendakwa telah mendapat surat rasmi daripada Pejabat Daerah Gombak yang berjanji untuk memberi mereka tanah di Matang Pagar, juga di Sungai Buloh, untuk membina mereka.

Pada tahun 2000, penduduk terbabit menfailkan tuntutan di mahkamah terhadap kerajaan negeri, pentadbiran tanah di Gombak dan pejabat tanah dan galian Gombak.

Tiada diskriminasi

Sementara itu, Mohd Khir berkata tidak ada sebarang perjanjian hitam-putih antara kerajaan negeri dengan penduduk terbabit.

"Ianya hanya surat. Pejabat Tanah tidak boleh menawarkan tanah, hanya kerajaan negeri sahaja yang boleh," katanya.

Beliau menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri mengamalkan dasar diskriminasi terhadap penduduk terbabit yang sebahagian besarnya kaum India.

"Tiada diskriminasi. Kami melayan semua setinggan secara saksama...Saya datang untuk menyelesaikan masalah, mereka tidak berterima kasih, tetapi kini menuduh kami pula," katanya, sambil menambah lebih baik perkara tersebut dibawa ke mahkamah.

"Ini kerana kita telah membuat tawaran terbaik untuk mereka. Lebih baik diserahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan," katanya.

Penduduk terbabit hari ini menghantar notis mahkamah ke pejabat PKNS di Petaling Jaya, memintanya supaya memberhentikan projek pembinaan flat di Matang Pagar dalam tempoh 10 hari atau menghadapi tindakan undang-undang.

Menurut surat tersebut, jika mereka tidak menerima sebarang jawapan bertulis daripada PKNS dalam tempoh 10 hari untuk memberhentikan kerja-kerja di Blok G, maka mereka akan memohon kepada mahkamah untuk memasukkan nama PKNS sebagai defenden dalam kes tersebut.

Serah pada kerajaan negeri

PKNS bagaimanapun enggan menerima syarat-syarat dalam surat tersebut, dan sebaliknya berkata ia akan menyerahkannya kepada kerajaan negeri.

Penduduk terbabit, yang diketuai oleh S Muniandy, yang juga ketua Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (Permas) cawangan Rawang, meninggalkan surat tersebut dengan pegawai akhbar PKNS, Mohd Wazir Abdul Gani.

Mohd Wazir memberitahu pemberita kemudiannya, PKNS tidak akan mengambil sebarang tindakan kerana perkara tersebut sepatutnya dirujukkan kepada kerajaan negeri.

"Kami tidak menerima surat tersebut, jadi kami tidak akan berbuat apa-apa. Kami hanya menerima arahan daripada kerajaan negeri Selangor untuk membina rumah kos rendah," katanya.

Penduduk terbabit juga bercadang untuk menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) minggu depan.

Ahad lalu mereka membuat laporan polis terhadap Dr Mohd Khir.