DAP mahu pendirian PKR isu kuota eksekutif Petronas S'wak
DAP Sarawak meminta PKR menyatakan pendirian berhubung cadangannya melarang rakyat dari Semenanjung Malaysia bagi jawatan eksekutif di Petronas sehingga komposisi pekerja tempatan meningkat kepada 70 peratus.
Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, beliau maklum perbezaan pendapat dengan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengenai cadangan itu, tetapi mempersoalkan sama ada PKR berkongsi pendirian yang sama di peringkat pusat dan negeri.
"Memandangkan Rafizi juga naib presiden PKR pusat dan setiausaha agung dan dia sudah bercakap mengenai perkara itu, ia sekali gus tanggungjawab PKR pusat dan PKR Sarawak menyatakan dasar parti terhadap isu ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Anggota Parlimen Kuching itu berkata, cadangan beliau tidak mempunyai kaitan dengan politik kenegerian dan diskriminasi terhadap pekerja dari luar Sarawak.
"Ia mengenai memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Sarawak untuk bekerja di negeri sendiri dan meraih manfaat daripada sumber semula jadi di Sarawak.
"Jika Rafizi tidak faham makna sasaran 70 peratus ini, saya mengharapkan rakan-rakan lain dalam PKR (melakukannya)," jelasnya.
Terdahulu Rafizi menegaskan kuota jawatan pengurusan bagi operasi Petronas di negeri itu yang dikhususkan hanya untuk rakyat Sarawak tidak baik bagi kakitangannya.
Beliau berkata, tindakan sedemikian hanya akan membantutkan perkembangan dan kemajuan kerjaya mereka.
Mendasar diskriminasi dilaksanakan di negeri ini oleh BN dengan persetujuan Sarawak, Chong berkata, penetapan sasaran 70 peratus adalah betul. Justeru beliau berikrar untuk terus berusaha mendapat tawaran yang lebih adil bagi negeri itu.
Chong yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kota Sentosa berkata, perbincangannya dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng malam tadi juga mempersetujui
cadangan itu.
Beliau melahirkan cadangan itu selepas badan pemikir yang berpangkalan di Sarawak, Suara Petroleum Group, melahirkan kebimbangan apabila rakyat Sarawak kini diberhentikan kerja dari Petronas sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula syarikat gergasi minyak itu.

