Pokemon Go lebih banyak mudarat, kata mufti P Pinang
Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyifatkan permainan realiti berperantara Pokemon Go lebih banyak
mendatangkan kemudaratan berbanding kebaikan.
Beliau berkata berdasarkan kajian dibuat Jabatan Mufti Pulau Pinang sebelum ini, juga menunjukkan aspek negatif permainan itu melebihi perkara positif.
Justeru, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, berkata perbincangan sama ada pemainan siber yang menjadi kegilaan masyarakat masa kini itu perlu diharamkan atau sebaliknya, hanya akan diadakan jika mendapat aduan daripada orang ramai atau dicadangkan anggota jawatankuasa fatwa berkenaan.
"Sehingga kini kami belum buat perbincangan lagi, tapi saya menyedari
permainan itu memudaratkan berikutan ia boleh mengundang kepada jenayah dan mengganggu privasi orang sekeliling.
"Buat masa ini, kami juga akan tengok dulu dan sekiranya mendapat aduan daripada orang ramai, maka ia akan dibincangkan untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas majlis Konvensyen Keluarga Sejahtera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Bukit Mertajam, hari ini.
Pokemon Go, yang dibangunkan Niantic Incorporation of Nintendo USA,
mencetuskan gelombang baharu dalam permainan realiti berperantara dalam sejarah penciptaan aplikasi telefon pintar.
Menggunakan GPS dan kamera telefon pintar, permainan percuma itu membolehkan pemainnya menangkap, berlawan dan melatih makhluk maya digelar Pokemon, yang akan muncul di skrin telefon seolah-olah ia wujud di dunia nyata.
Sementara itu, Wan Salim berkata terdapat pelbagai kaedah dalam Islam yang boleh digunakan untuk mengharamkan permainan itu seperti sadda azzara'i, dar'ul mafasid, maslahah 'ammah dan sebagainya.
Beliau berkata ia bagi menyekat pintu kerosakan di samping memelihara
kesejahteraan awam.

