Kira-kira 100 orang penyokong Ahmad Razif Abdul Rahman berkumpul di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan menteri besar.

Penyokong yang terdiri daripada NGO Pertubuhan Amal Maaruf Peribumi (KAMP) turut membawa kain rentang bertulis “Kami menyokong penuh kepimpinan Ahmad Razif,” “#respekmyMB” serta plakad “Hidup MB” dan “Teruskan TTB” (Transformasi Terengganu Baru).

Mereka mula berkumpul kira-kira jam 8.30 pagi.

Razif, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir itu tiba pada jam kira-kira 9.20 pagi dan disambut dengan laungan “Hidup MB”.

Beliau yang mengenakan baju Melayu ungu kemudian bersalaman dengan semua penyokongnya yang hadir sebelum memasuki dewan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Selepas itu, bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said pula tiba.

Ketika ditanya sama ada akan ada usul undi tidak percaya daripadanya pada sidang DUN hari ini, Ahmad Said hanya berkata:

"Mana saya tahu," kata Adun Kijal itu sambil tersenyum.

Sementara itu, wakil KAMP, Ahmad Shukri Abdullah ketika ditemui pemberita memberitahu, kehadiran mereka pada hari ini bagi memberi sokongan terhadap kepimpinan Ahmad Razif.

"Kita datang untuk beri sokongan untuk menteri besar kita iaitu Ahmad Razif.

"Kita sebagai badan NGO patut beri sokongan penuh pada menteri besar kita sebab kita tengok kepimpinan beliau terbaik bagi kami.

"Biarlah menteri besar kita meneruskan pembangunan untuk Terengganu kita ini," katanya.

Selain itu, kawalan keselamatan bagi sidang DUN hari ini juga dipertingkatkan daripada sidang biasa apabila jumlah anggota polis bertugas ditingkatkan.

Menurut pengawal keselamatan yang bertugas, setiap kali sidang DUN, pihak mereka yang akan membuat pemeriksaan keselamatan tetapi perkara sebaliknya berlaku pada hari ini.

"Selalu kami yang buat pemeriksaan keselamatan tetapi hari ini pihak polis. Polis selalu ada di sini tapi hari ini ramai sikit.

"Tak tahu (kenapa polis ramai). Tapi untuk sidang hari ini," katanya.