Ahmad: Undi tak percaya 'mana saya tahu'
Ketika berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini, Ahmad Said berkata beliau tidak tahu sama ada undi tidak percaya terhadap menteri besar akan diusulkan.
Ditanya soalan itu, beliau berkata ringkas “Mana saya tahu” sambil tersenyum.
Ahmad Said yang tampil dengan blazer hitam dan tali leher biru muda, juga kelihatan ceria ketika gambarnya dirakam media.
Beliau menjadi perhatian susulan desas-desas undi tidak percaya minggu lalu, walaupun telah dinafikan Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman.
Berbeza dengan Razif yang disambut sekumpulan penyokong, Ahmad Said hanya hadir seorang diri.
"Tak ada nampak apa pun agenda. Saya seorang saja. Nak buat apa kalau kita seorang," katanya lagi ketika ditanya sama ada sebarang “kejutan” akan dibuat hari ini.
DUN Terengganu menyaksikan sesi pembukaan hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Said yang merupakan bekas menteri besar Terengganu dilaporkan sekali lagi mengancam keluar Umno dan akan bekerjasama dengan PAS.
Beliau hanya perlu sokongan seorang lagi wakil rakyat BN untuk membolehkan perkara itu berlaku.
Umno Mempunyai 17 kerusi manakala pembangkang pula 15 kerusi dalam DUN.
Sebelum ini, Speaker Datuk Mohd Zubir Embong telah menolak usul undi tidak percaya Ahmad Said kerana tidak mengikuti tempoh notis 14 hari ini.
Ghazali: Disensasikan saja
Sementara itu, seorang ADUN yang didakwa akan bersama Ahmad Said dan turut mengkritik kepimpinan Ahmad Razif – Ghazali Taib –berkata, beliau berharap tiada perkara tidak diingini berlaku.
ADUN Ajil serta exco kerajaan negeri itu berkata isu undi tidak percaya dan pembubaran DUN Terengganu hanya disensasikan oleh media.
"Saya tak tahu. Saya harap tak ada (usul undi tak percaya).
"Kami satu pasukan, satu kepimpinan. Barisan exco berfungsi dan berjalan macam biasa seperti biasa. Sebelum ini tiada apa-apa pun. Disensasikan oleh media sahaja. Media kan suka perkara sensasi.
"Hal yang saya beritahu itu hal yang baik (minta Razif letak jawatan). Tapi inilah peluang kepada pihak yang mengharapkan sesuatu kehangatan. Kita mengharapkan tiada sebarang masalah, pembubaran DUN dan pilihan raya negeri," kata Ghazali.
Sebelum ini, Ghazali mengkritik pentadbiran Ahmad Razif tetapi memberitahu bahawa beliau tidak akan meninggalkan Umno.

