Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak mempunyai butiran mengenai parti baru yang bakal ditubuhkan oleh bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ini kerana, katanya, parti itu bukan di bawah kendaliannya dan menafikan wujudnya perbincangan antara penganjur parti baru itu dengan PKR, DAP, AMANAH serta PAS..
"Tak tahu, tak ada bincang. Bukan parti saya macam mana saya nak tahu.
"Parti saya PKR, saya rapat dengan semua orang satu Malaysia," kata Azmin yang juga adalah menteri besar Selangor selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembangunan loji rawatan air Semenyih 2 di Sepang, hari ini.
Bekas ketua pengarang New Straits Times, Datuk A Kadir Jasin sebelum ini berkata, adalah tidak adil menuduh Muhyiddin membelakangkan kepelbagaian budaya dengan membuka keahlian hanya kepada bumiputera dalam parti baru yang akan ditubuhkannya.
Katanya, langkah itu adalah strategik supaya tidak bertembung dengan parti lawan BN yang berlatar belakang pelbagai kaum dan perbincangan dengan parti pembangkang lain menunjukkan "tanda-tanda positif".
Minggu lalu, Kadir juga mengesahkan bahawa keanggotaan parti yang bakal ditubuhkan Muhyiddin hanya akan dibuka kepada masyarakat Melayu dan bumiputera.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi pengerusi parti itu manakala Muhyiddin sebagai presiden.
Selain itu Presiden Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Kamarul Azman Habibur Rahman dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing akan dilantik sebagai setiausaha dan bendahari parti itu.
Anggota jawatankuasa yang lain termasuk bekas Ketua Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin, bekas Ketua Pemuda Umno Bendang Baru Akhramsyah Sanusi dan pemimpin pelajar Challenger Syed Saddiq Abdul Rahman, katanya.
Mengulas projek loji rawatan air Semenyih 2 di Jenderam Hilir, Azmin berkata projek itu dijangka mampu menyalurkan 100 juta liter air sehari bagi menampung keperluan 100,000 pengguna di kawasan Semenyih.
Katanya, pembinaan loji itu antara agenda strategik kerajaan negeri untuk memastikan industri perkhidmatan air yang lebih efisien buat pengguna.
“Walaupun ia tanggungjawab kerajaan persekutuan tetapi jika ada kerjasama baik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, kita sedia untuk menggunakan rizab demi pembangunan rakyat.
“Ini langkah proaktif untuk menghadapi perubahan global dan peningkatan penduduk yang meningkatkan permintaan penggunaan air,” kata Azmin.
Loji Semenyih 2 dibina dengan kos RM180 juta melalui peruntukan Belanjawan 2016 bagi melaksanakan sumber air baru sementara menantikan Projek Langat 2 siap sepenuhnya, pada tahun 2019.
Menerusi proses tander terbuka, ia berjaya mengurangkan kos keseluruhan 30 peratus daripada kos anggaran jabatan.
Selain Semenyih, sumber air projek berkenaan akan juga membekalkan air ke kawasan Beranang, sebahagian kawasan Hulu Langat dan pembangunan baru di sepanjang Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).
Kerajaan negeri juga dalam proses pembinaan loji rawatan air Labohan Dagang, Kuala Langat dengan kapasiti 400 juta liter air sehari.
