Sidang 3 jam, tiada usul singkir MB di T'ganu
Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini bersidang seperti biasa dengan dewan membahaskan usul-usul kerajaan negeri.
Malah, usul undi tidak percaya terhadap menteri besar-yang sebelum ini didakwa akan dibawa pada sidang kali ini tidak dibangkitkan.
Antara perkara yang dibincangkan dalam sidang dewan yang bermula pada 10 pagi dan berakhir jam 1 petang itu adalah mengenai tanah rizab Melayu serta jumlah pinjaman pendidikan yang akan diberikan oleh kerajaan negeri.
Selain itu, difahamkan, ADUN Kijal Datuk Seri Ahmad Said meninggalkan dewan lebih awal apabila beliau tidak kelihatan selepas sidang dewan ditangguhkan pada jam 11 pagi untuk berhenti rehat.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas sidang DUN ditangguhkan, Menteri Besar Ahmad Razif berkata isu kemelut di negeri itu telah selesai.
"Keadaan kita terkawal, tidak ada apa-apa perkara berlaku. Saya yakin bahawa persidangan ini tidak ada apa-apa permasalahan dan keadaan politik Terengganu selesai, tiada masalah apa-apa.
"Biasalah yang saya sebut, ada sedikit sebanyak perkara. Insha Allah ia boleh diselesaikan," katanya.
Selain itu, Ahmad Razif juga memberitahu apa yang lebih utama kini ialah untuk memperkukuhkan kepimpinan Umno dan BN di peringkat negeri bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
"Sudah berakhir. Biasalah, secara tak langsung ini juga memberikan siap siaga yang perlu dilaksanakan oleh kita.
"Lepas ini kita akan mantapkan lagi kepimpinan Umno-BN dan fokus menghadapi pilihan raya umum ke-14," katanya lagi.

