Tujuh pelajar sekolah didakwa kerana merusuh
Tujuh pelajar lelaki daripada dua sekolah di Klang dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan merusuh dan
menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang di hadapan sebuah sekolah di Jalan Pandamara, Klang pada 27 Julai lepas.
Kesemua pelajar berkenaan yang berumur 13 dan 14 tahun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Asma Ahmad.
Prosiding berlangsung secara tertutup dengan mahkamah itu bersidang sebagai Mahkamah Kanak-Kanak.
Kesemua tujuh pelajar itu didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah sekolah di Jalan Pandamaran kira-kira pukul 12.45 tengah hari, 27 Julai lepas.
Bagi pertuduhan pertama, kesemua pelajar itu didakwa menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang meskipun diperintah bersurai dan pertuduhan kedua didakwa merusuh dengan menggunakan kekerasan bagi tujuan mendatangkan kecederaan sesama mereka.
Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 147 kanun sama yang masing-masing membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding, peguam mewakili kesemua pelajar itu, Gerard Lazarus, berkata mahkamah menetapkan jaminan RM700 bagi setiap pelajar berkenaan dan kes akan disebut semula pada 8 September.
Beliau berkata wang jaminan untuk semua pelajar itu itu dibayar oleh Exco Selangor V. Ganabatirau.
Katanya, pihaknya akan mengutus surat kepada pejabat timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat bagi mengkaji semula kes itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali.
-Bernama

