Bagaimana dengan bapa Jho Low? Lim bidas media arus perdana
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sekali lagi membidas media arus perdana yang didakwanya mengamalkan "pendekatan dwi-standard" dalam melaporkan mengenai pembangkang.
Lim pada sidang akhbar, semalam di soal sama ada kerajaan negeri bercadang menarik balik gelaran Datuk ke atas seorang peniaga dari Pulau Pinang yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah di Taiwan.
Ketua menteri itu membalas soalan itu dengan menyoal wartawan menjelaskan mengapa dia tidak pernah mempersoalkan gelaran Tan Sri yang diterima oleh bapa Jho Low, Larry Low yang dikatakan terlibat dalam skandal 1MDB.
"Adakah ini protokol yang biasa? Adakah normal bahawa apabila seseorang disiasat, gelaran yang diberikan ditarik balik," kata Lim.
"Jika ini kesnya, akan ada banyak Tan Sri dan Datuk yang terlibat, termasuk Larry Low, bapa (kepada) Jho Low.
"Beliau didakwa terlibat dalam memindahkan dana dalam kes 1MDB. Mengapa kamu tidak tanya mengenai kes itu?
"Namun, kamu tanya tentang kes di Taiwan yang masih disiasat dan tidak membabitkan wang (negara) kita."
Wartawan yang mengajukan soalan tersebut kepada Lim merujuk kes yang melibatkan firma, Phison Electronics Corp di Taiwan.
Firma itu dilaporkan sedang disiasat atas dakwaan memalsukan laporan akaun kewangan, tetapi ini dinafikan oleh syarikat berkenaan.

