Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bercadang membina sebuah makmal khas bagi mengkaji dan memantau produk halal keluaran tempatan selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh jabatan itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata pembinaan makmal itu di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan menelan belanja sekitar RM30 juta hingga RM40 juta.

"Kami sedang mengenal pasti tapak makmal di Selangor berhampiran Putrajaya dan rancangan itu bergantung kepada kelulusan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Persidangan Ketua-ketua Jabatan Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia ke-67 di Shah Alam hari ini.

Menurut laporan Bernama , Mustafa berkata makmal berkenaan akan menempatkan pakar dalam bidang barangan pengguna Islam seperti makanan, kosmetik dan barangan kulit untuk menganalisis bahan yang digunakan sebelum ia disahkan halal.

Buat masa ini, katanya, analisis berkenaan dijalankan oleh Jabatan Kimia, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) dan pihak universiti tempatan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, yang ditemui pada majlis yang sama, berkata penubuhan makmal itu akan meningkatkan kredibiliti dan kualiti produk halal keluaran tempatan.

Rampasan sosej

Katanya dengan adanya makmal berkenaan maka produk halal dapat ditentukan dengan lebih sistematik dan berkesan melalui kawal selia terhadap setiap produk yang dihasilkan.

Pada 14 Mac lalu, dalam satu operasi, 150 karton sosej ayam daripada Muller Sausage Haus dan 65 karton burger ayam dan lembu dari Pacific Refrigerating yang beroperasi di Jalan Ipoh dekat sini serta Selayang Baru, disita.

Bagaimanapun, selepas ujian dijalankan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengesahkan bahawa kesemua sampel sosej itu bebas daripada menggunakan usus babi.

Ujian DNA oleh Jabatan Kimia di Petaling Jaya mendapati sampel sarung sosej itu diperbuat daripada sumber kambing biri-biri, satu sampel sarung sosej diperbuat daripada tumbuhan, tiga sampel sosej tanpa sarung adalah daripada sumber ayam dan tiga sampel sosej bersarung pula sosej daripada sumber ayam dan sarung daripada sumber kambing biri-biri.

Bagaimanapun menurut kementerian tersebut, kedua-dua kilang itu akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menggunakan logo halal Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang telah tamat tempoh pada 28 Januari 2004.

Bagaimanapun, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tetap dengan pendirian bahawa sosej yang dikeluarkan dua syarikat tersebut adalah tidak halal di sisi agama Islam.

Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman dilaporkan berkata, isu utama yang dipertikaikan ialah mengenai penggunaan 'natural casing' dalam industri pembuatan sosej, tidak mengira sama ada ia dibuat dari babi ataupun binatang lain seperti kambing biri-biri.

Katanya, ini kerana tiada satupun loji di luar negara yang diiktiraf halal oleh Kerajaan Malaysia bagi membekalkan 'natural casing'.