Presiden MIC: Apa perlunya bukan b'putera sertai parti Muhyiddin?
Apa perlunya bukan bumiputera menyertai parti politik, yang dari awal lagi, bersikap diskriminasi terhadap mereka?
Ini dibangkitkan oleh Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam, merujuk kepada status dwi-keahlian dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baru difailkan untuk pendaftaran, yang akan diterajui oleh bekas timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Subramaniam berkata terdapat dua jenis keahlian, satu dengan hak dan yang lain tanpa hak, dan ini menurut bermakna wujud diskriminasi berdasarkan bangsa.
Dari awal, tegasnya, parti itu mengamalkan diskriminasi.
"Oleh itu, jika bukan bumiputera menyertainya, mereka akan, dari awal lagi, dianggap sebagai ahli kelas kedua," kata Subramaniam, yang juga menteri kesihatan dalam satu sidang media selepas satu majlis di ibunegara malam tadi
"Jadi apa perlunya mengapa menjadi ahli parti itu? Adalah lebih baik mereka tidak menyertainya, lebih baik sertai kami di MIC," kata Subramaniam.
Muhyiddin semalam mendedahkan bahawa walaupun parti itu akan dibuka kepada semua kaum, bukan Melayu hanya boleh menyertainya sebagai ahli bersekutu yang tidak boleh bertanding untuk sebarang jawatan atau mengundi dalam pilihan raya kepimpinan parti.
Mengulas lanjut, Subramaniam juga menyifatkan kerjasama parti baru itu dengan Pakatan Harapan sebagai satu lagi "eksperimen" untuk pakatan pembangkang.
"Kami telah melihat perkara ini berlaku sebelum ini, apabila DAP dan PAS cuba untuk bekerjasama... mereka bergaduh macam kucing dan anjing.
"Oleh itu, ini adalah satu lagi eksperimen baru (pembangkang). Saya rasa rakyat Malaysia kini lebih matang dalam membuat keputusan," katanya sambil menambah bahawa parti baru itu tidak mungkin memberi kesan terhadap BN.

