Harga bahan api mungkin naik lagi?
Kerajaan kerajaan tidak bercadang menaikkan harga bahan api meskipun harga minyak mentah dunia kini mencecah paras tertinggi AS$58 (RM220.40) setong, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shafie Apdal hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan harga bahan api jika paras harga minyak dunia meningkat lagi.
"Perkara ini tidak dapat dielakkan bagi mengimbangi pemberian subsidi bahan api yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan setiap tahun.
"Pada masa ini, jumlah beban subsidi bahan api yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan mencecah kira-kira RM90 juta hingga RM100 juta sebulan. Sudah tentu jika berlaku lagi kenaikan harga minyak dunia, ia akan memberi kesan terhadap ekonomi negara.
"...kita tidak menolak kemungkinan harga bahan api naik lagi," katanya.
Menurut laporan Bernama, Shafie memberitahu demikian selepas merasmikan pejabat cawangan kementerian itu di Tuaran hari ini.
Semalam, laporan akhbar menyuarakan kebimbangan akibat trend kenaikan harga minyak dunia baru-baru ini.
Isnin lalu, harga minyak mentah sedunia mencapai paras tertinggi baru apabila mencecah AS$58 (RM220.40) setong berikutan kebimbangan kemungkinan bekalan tidak mencukupi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.