Kerajaan negeri S'wak tersalah faham, kata Petronas
Petronas percaya keputusan menggantung permit kerja kakitangan Petronas oleh kerajaan negeri Sarawak awal minggu ini dibuat atas salah faham dalam proses penstrukturan semula perniagaan merentasi kumpulan yang dianggap memberi kesan tidak adil kepada kakitangannya dari Sarawak.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhubungan Media, Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas berkata, firma tersebut berkata, pihaknya menjangkakan majoriti pengambilan kakitangan baru di negeri tersebut masih dikuasai oleh rakyat Sarawak.
"Pengambilan kakitangan yang diperlukan untuk memenuhi permintaan tenaga kerja baru masih dikuasai oleh rakyat Sarawak, seperti amalan pengambilan sedia ada.
"Ada beberapa jawatan yang akan diisi oleh pekerja berpengalaman yang mungkin melibatkan bukan rakyat Sarawak," jelasnya dalam kenyataan.
Petronas juga telah mengadakan beberapa taklimat dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri Sarawak di pelbagai peringkat ekoran pelaksanaan proses penstrukturan berkenaan.
Justeru, Petronas akan meneruskan usaha penerangan tersebut, termasuk bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Douglas Uggah Embas bagi menangani kebimbangan kerajaan negeri berhubung keperluan tenaga kerja di kalangan rakyat Sarawak.
Baru-baru ini, Douglas Uggah mengumumkan bahawa Petronas tidak lagi boleh mengambil warga negara Malaysia dari luar Sarawak untuk mengisi pekerjaan di negeri itu selepas kerajaan negeri menghentikan pengeluaran permit kerja baru.
"Moratorium kerajaan negeri ini berkuatkuasa serta-merta bagi semua permohonan permit kerja baru untuk kakitangan Petronas dari luar Sarawak yang berhasrat bekerja di Sarawak," kata Douglas Uggah, memetik laporan akhbar The Borneo Post.
Douglas Uggah berkata, kerajaan negeri telah meminta penjelasan dari Petronas dan syarikat minyak itu berkata pemberhentian pekerja adalah sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kos.
Kerajaan negeri sedang menunggu laporan terperinci daripada Petronas mengenai jumlah anak Sarawak yang bekerja dengan syarikat minyak berkenaan di negeri itu.
Langkah itu berikutan aduan bahawa Petronas menamatkan perkhidmatan rakyat Sarawak daripada operasinya di negeri itu walaupun jumlah rakyat tempatan sudah cukup rendah.
Badan pemikir Sarawak, Suarah Petroleum Group (SPG) mendakwa hanya 39 peratus daripada jawatan pengurusan dan 46 peratus daripada jawatan eksekutif dalam operasi Petronas Sarawak dipenuhi oleh rakyat Sarawak.
Mengulas lanjut, Petronas berkata, Sarawak kekal sebagai pelaburan negara utama bagi firma tersebut dengan keperluan tenaga kerjanya akan terus berkembang.
"Kunci kepada kejayaan penghantaran dan operasi projek Petronas di negeri itu ialah sokongan dan komitmen semua pihak yang berkenaan dengan apa yang paling penting ialah pasukan pekerjanya terdiri daripada mereka yang berkelayakan, terlatih dan berdedikasi - tidak kira di mana mereka berasal.
"Petronas seperti syarikat-syarikat minyak dan gas lain di seluruh dunia akan terus mengkaji semula strategi perniagaan dan keperluan tenaga manusia yang cekap dan lestari untuk menjadikannya lebih berdaya tahan dengan memberi tumpuan untuk berkembang maju dalam landskap industri semasa dan akan datang," ujarnya lagi.

