Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berpendapat bahawa ia agak pelik untuk menerima parti berasaskan bumiputera sebagai sebahagian daripada Pakatan Harapan.

"Ia merupakan satu yang di luar kebiasaan untuk mempunyai satu jenis parti berasas kaum dalam penubuhan Pakatan Harapan," kata Rafizi kepada Malaysiakini.

Ahli parlimen Pandan itu diminta mengulas sama ada Pakatan Harapan akan bekerjasama dengan parti bumiputera yang ditubuhkan baru-baru ini.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR itu mengesahkan perkara itu masih belum dibawa kepada kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Ini kerana kita tidak boleh menyiapkan kereta sebelum kuda. Sebelum ini, parti (baru) itu masih belum dibentuk, jadi kita tidak boleh membuat spekulasi," katanya.

Namun begitu, Rafizi menegaskan bagaimana dasar-dasar bersama Pakatan Harapan itu tidak ditulis atas dasar satu kaum sahaja.

Oleh itu, masalah mungkin timbul jika Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyertai Pakatan Harapan secara rasmi sebagai salah satu daripada ahli-ahlinya.

"Bagaimanapun, saya tidak fikir bahawa mereka merancang untuk berbuat demikian. (Saya rasa) mereka mahu mempunyai beberapa jenis pakatan pilihan raya, yang kita boleh pertimbangkan, "kata Rafizi.

Bercakap kepada pemberita selepas mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan BERSATU dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini, Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, ahli biasa parti itu akan dibuka kepada hanya orang Melayu, bumiputera, Orang Asli dan pribumi Sabah dan Sarawak.

Ahli bersekutu boleh dilantik

Kaum-kaum lain boleh menyertai parti itu tetapi mereka akan menjadi ahli bersekutu yang tidak boleh mengundi atau bertanding untuk jawatan dalam parti. Bagaimanapun, sebagai ahli bersekutu, mereka boleh dilantik ke jawatan itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub berkata AMANAH tidak mempunyai masalah tentang bekerjasama dengan parti baru, tanpa mengira jenis keahlian parti itu menawarkan.

"Tak ada masalah untuk AMANAH dengan parti baru ini sebab bagi saya ia bukan dilihat parti perkauman atau parti kesukuan. Itu hak mana-mana parti untuk menubuhkan apa bentuk parti yang mereka mahu selagimana tak menjadikan parti itu parti perkauman yang sempit dan hanya memperjuangkan sesuatu kaum sahaja.

Apa yang penting, katanya, adalah bahawa parti berkenaan berkongsi matlamat dan cita-cita yang sama.

"Jelas objektif penubuhan parti baru adalah berlatarbelakangkan perjuangan Muhyiddin dan kumpulannya yang menjadi korban dalam perjuangan tentang isu 1MDB.

"Bagi saya itu sudah cukup untuk memberikan isyarat bahawa dengan wujudnya parti baru ini dan gabungan parti-parti nanti dalam bentuk satu barisan pembangkang adalah untuk menjatuhkan BN," katanya.

Agenda reformasi

Sementara itu, Rafizi berkata, kerjasama yang mungkin dengan BERSATU mesti berdasarkan kerangka mengenai agenda reformasi.

Beliau berkata wujud kebimbangan bahawa pembangkang tidak mengadakan sebarang perbincangan mengenai agenda reformasi tertentu sejak tahun lalu.

Beliau berkata agenda reformasi mereka terlalu umum dan ini merupakan sebab Pakatan Rakyat dibubarkan, serta pakatan pembangkang yang baru- Pakatan Harapan, kadang-kadang berdepan kritikan.

"Ia bukan kerana orang meragui komitmen kami untuk reformasi [...] tetapi butirannya kadang-kadang boleh menjadi sedikit sukar," katanya, memetik sebagai contoh usaha untuk merubah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan badan kehakiman.

Beliau berkata Pakatan Harapan tidak boleh bergerak ke hadapan tanpa memperincikan agenda reformasi terutamanya dengan parti baru itu.

Beliau berkata ini akan memerlukan kompromi dan mereka boleh membentuk pembangkang pada pilihan raya umum akan datang jika mereka berjaya mencapai matlamat ini.

"Wacana mesti berada pada dasar tertentu yang sebenar dan ia tidak hanya mengenai (perdana menteri) Najib - bahawa segala-galanya akan dapat diselesaikan jika dia dipecat.

"Kebimbangan saya adalah, apabila anda pergi ke arah itu, ia seolah-olah mengeluarkan Najib adalah satu pembaharuan," katanya sambil menambah ia tidak mencukupi.

Rafizi berkata Pakatan Harapan perlu menerajui dan membawa balik wacana mengenai dasar berkenaan dan ia akan menjadi satu cara yang lebih berkesan untuk "mengalahkan Najib".

Membacakan draf perlembagaan parti baru itu semalam, Muhyiddin berkata parti itu bertujuan melakukan perubahan yang menyeluruh dalam institusi negara, antaranya untuk "mewujudkan kerajaan yang bersih dan boleh dipercayai".