‘Ada udang di sebalik mi’ di Ampang Park?
Gagal mencabar pengambilalihan Ampang Park, pemilik dan penyewa kompleks beli belah hari ini membawa nasib mereka kepada kumpulan pendesak Melayu PERKASA.
Selepas pertemuan itu hari ni, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali melihat campur tangan Perdana Menteri dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz mungkin dapat menyelesaikan kebuntuan itu.
“PERKASA desak PM, Datuk Bandar jangan pandang remeh rungutan kegelisahan tuan kedai dan penyewa di Ampang Park.
“Bangunan ini ada nilai sejarah antara kerana ia antara bangunan tertua di Kuala Lumpur. Di sini juga terdapat peniaga dan usahawan bumiputera walaupun berbagai kaum.
“Kerajaan kena telus isu ini,” katanya.
Ibrahim juga mengesyaki terdapat “udang di sebalik mi’ dengan usaha Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yang mahu membina kereta api MRT di situ.
Katanya, tanah di premis itu kini senilai dengan Tun Razak Exchange (TRX) dan beliau mahu pelan perancangan sebenar ditunjukkan.
“Alasan (MRT Corp nak ambil tanah) kerana nak memberi laluan kepada projek MRT, tapi sampai sekarang tuan punya kedai dan penyewa belum dapat gambaran jelas atau pelan sebenar, sama ada betul atau tidak MRT akan melalui Ampang Park,” katanya.
Jun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan 39 pemilik strata pusat beli belah itu untuk mencabar pengambilan tanah untuk projek pembinaan MRT Stesen Ampang Park.
Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas mendapati kelulusan pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan bagi pengambilan tanah itu dibuat mengikut peruntukan undang-undang.
Hanipah turut bersetuju dengan hujah MRT Corp selaku responden ketiga bahawa tujuan pengambilan tanah itu adalah atas dasar keselamatan.

