Kira-kira 500 penyokong mantan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkumpul di luar Penjara Sungai Buloh malam tadi untuk meraikan hari jadi beliau yang ke-69.

Kehadiran mereka juga adalah sebagai sebahagian daripada kempen yang berterusan untuk menuntut pembebasannya, pada hari yang ke-548 beliau menjalani hukuman penjara.

Satu kek hari jadi yang besar telah dibawa ke pentas di mana ahli keluarga dan rakan-rakan Anwar berkumpul pada kira-kira pukul 11.30 malam.

Isteri Anwar yang juga dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memotong kek bersama anak perempuannya Nurul Izzah, Nurul Hana dan Nurul Nuha, selepas laungan "Allah selamatkan kamu".

Dalam ucapannya, Wan Azizah berkata, rakyat tidak harus putus asa dalam perjuangan mereka untuk perubahan, yang bermula pada 1998 apabila Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan kemudiannya menjalani hukuman penjara.

Pada masa itu, tegasnya, tuntutan rakyat untuk perubahan akhirnya menyaksikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang kemudiannya menyerahkan jawatan itu kepada Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Razak.

"Pada masa itu kita (pembangkang) tidak ada ramai YB (ahli Parlimen).

"Saya tertanya-tanya sama ada rakyat menyedari bahawa walaupun sekarang kita mempunyai lebih ramai YB, ia masih tidak mencukupi.

"Jika kita tidak mengubah keseluruhan sistem, kita akan terus menghadapi masalah yang sama...," katanya.

Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai, mendeklamasikan dua puisi kegemaran Anwar - 'Memang Begitu Demikian Hadi' oleh Taufik Ismail dan 'Kesaksian Bapak Saijah' oleh Rendra.

'Hanya takut pada Allah'

Memetik baris dari sajak nukilan Rendra mengenai kesedaran bahawa ketakutan menyuburkan ketidakadilan, Nurul Izzah berkata beliau sentiasa mengingati nasihat Wan Azizah hanya takutkan Allah.

"Malah jika pelajar kini mendapat keberanian untuk menggerakkan gerakan untuk menangkap kleptocrat, apakah alasan kita?" katanya merujuk kepada himpunan 'Tangkap Malaysian Official 1" pada 27 Ogos  yang dianjurkan oleh sebuah gabungan pelajar dan kumpulan belia.

Jurucakap gabungan itu, Anis Syafiqah Md Yusof mengulangi gesaan kepada pihak berkuasa supaya mengenal pasti dan menyiasat individu yang dikenal pasti sebagai 'Malaysian Official 1" oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

Anis yang pertama berucap malam tadi, sekali lagi meminta rakyat menyertai  perhimpunan 'Tangkap Malaysian Official 1' itu yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur, Johor dan Kelantan.

Pemimpin lain yang berucap ialah Lim Kit Siang, Tony Pua; Tian Chua, Rafizi Ramli, Sivarasa Rasiah, Zuraida Kamarudin, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Mahfuz Omar dan timbalan ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil.

Tetamu juga dijemput untuk menandatangani kain rentang yang menyokong seruan pembebasan Anwar daripada hukuman penjara lima tahun atas sabitan tuduhan liwat - satu tuduhan yang menurut penyokongnya bermotifkan politik.
 

 

[Baca berita penuh]