Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ambiga: Pembangkang bersatu 'hadiah terbaik' untuk Anwar

Hadiah terbaik untuk hari jadi mantan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah barisan pembangkang yang bersatu menentang BN dalam pilihan raya umum ke-14.

Mengimbau kembali kemenangan pembangkang di bawah pimpinan Anwar, pengerusi HAKAM, Datuk Ambiga Sreenivasan berkata kemajuan itu dicapai sejak gerakan Reformasi 1998 yang dicetuskan oleh pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Hanya Anwar Ibrahim boleh mewujudkan satu barisan pembangkang yang begitu kuat di mana pada 2013, mereka menang undi popular.

"Kita tidak boleh melupakannya," kata Ambiga dalam ucapannya di perhimpunan di luar Penjara Sungai Buloh malam tadi sempena hari jadi Anwar ke-69.

Malah hingga ke hari ini dan dari dalam penjara, Ambiga mengingatkan kira-kira 500 hadirin malam tadi bahawa perjuangan Anwar untuk rakyat tidak pernah terhenti.

"Ia mesti sentiasa mengenai rakyat dan itulah yang kita mesti terus perjuangkan," katanya.

Walaupun di dalam penjara, kata Ambiga, semangat Anwar tidak pernah luntur.

"Beliau masih kelihatan kuat dan mesejnya tidak pernah berubah," kata Ambiga yang menyifatkan era Reformasi sebagai titik perubahan untuk Malaysia.

"Jadi hari ini, apabila kita menyambut hari jadinya, kita juga meraikan seorang yang menunjukkan ketabahan dan keberanian.

"Marilah kita berikrar: Pembangkang mesti sekuat sepertimana ketika Anwar menyatukannya pada 2008. Inilah pembangkang yang kita mahu lihat," katanya.

Sementara itu MP Sepang Amanah Hanipa Maidin membuat penampilan khas di majlis itu dan berkata beliau bersetuju dengan seruan Ambiga untuk barisan pembangkang yang bersatu.

"Jangan biarkan ia sampai ke tahap di mana kita tidak tahu siapa musuh bersama kita.

"BN adalah musuh kita dan dengan itu kita mesti bersatu menentangnya untuk menghadapi pilihan raya akan datang," kata Hanipa (gambar), yang menjalani pembedahan pada bulan April untuk merawat pendarahan otak yang disebabkan oleh strok.

Berucap dari kerusi roda, Hanipa berkata beliau berharap untuk pulih sepenuhnya dan kembali ke Parlimen untuk sesi yang akan datang pada bulan Oktober.

Secara berseloroh, katanya, beliau bosan duduk di rumah "kerana tidak ada Umno, tidak ada Najib".

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli juga teringat pembangkang yang bersatu menentang pemenjaraan Anwar yang pertama pada tahun 1998.

Penyokong yang berada di jalanan ketika itu, katanya, perlu sekarang, sekali lagi, menuntut pembebasan Anwar kerana ia adalah satu-satunya cara untuk menyatukan parti pembangkang untuk berdepan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

"Kita mesti membebaskan Anwar kerana beliau adalah satu-satunya yang boleh mengumpul (dan menyatukan) semua pihak yang kini mungkin tidak mampu untuk duduk di meja yang sama," kata Rafizi.

Sejak pemenjaraan Anwar, Pakatan Rakyat telah digantikan dengan Pakatan Harapan, selepas pembentukan parti sepertihan PAS - Parti Amanah Negara - dan pertembungan sebelumnya antara PAS dan DAP.

PAS juga telah membentuk satu blok ketiga pembangkang bersama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

Pilihan raya negeri Sarawak yang lalu dan pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menyaksikan BN mendakwa memperolehi kemenangan besar.

Situasi itu, khususnya di Sarawak, sebahagiannya disebabkan oleh kegagalan Pakatan Harapan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan rundingan agihan kerusi antara parti gabungannya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS