Paling Popular
Terkini

Kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menurun buat suku kelima berturut-turut pada bulan April hingga Jun yang lalu ekoran permintaan komoditi global yang masih lemah dan pelaburan swasta yang dalam keadaan 'suam-suam kuku'.

Ramalan median dalam tinjauan Reuters melibatkan 14 ahli ekonomi untuk pertumbuhan tahunan sebanyak 4.0 peratus pada suku kedua, turun daripada 4.2 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Jika angka pertumbuhan yang akan diumumkan bank pusat esok di bawah 4.2 peratus, tempoh antara April hingga Jun akan menjadi yang paling teruk sejak suku ketiga 2009 ketika ekonomi menguncup 1.2 peratus.

Punca utama jangkaan kelembapan seterusnya ialah eksport bersih yang lemah, kesan negatif permintaan global yang menurun, menurut penarafan firma Moody’s Investors Service.

"Hasilnya, pelaburan swasta akan menjadi lemah kerana firma melengah-lengahkan peningkatan kapasiti pengeluaran sehingga permintaan menongkah," jelas Moody dalam nota yang disiarkan pada 5 Ogos.

Pada bulan Januari hingga Mac, pelaburan swasta berkembang 2.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, kurang daripada separuh berbanding kadar yang dicatat suku sebelumnya.

Eksport Malaysia pada bulan Jun berkembang sebanyak 3.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya dalam terma ringgit, bercanggah dengan jangkaan tinjauan penguncupan 4.2 peratus. Bagaimanapun, mereka terus terjejas oleh penghantaran komoditi yang lemah terutama gas cecair asli dan minyak mentah.

Lonjakan ringgit

Ringgit mengukuhkan sekitar 7 peratus tahun ini sejak tahun 2015 ketika menjunam lebih 20 peratus berbanding dolar semasa kejatuhan harga minyak mentah global, permintaan perlahan daripada rakan kongsi perdagangan China dan skandal kewangan yang berkait dengan 1MDB.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus berdepan tuduhan rasuah berkaitan 1MDB, tumpuan ke atas tindakan undang-undang yang difailkan pihak pendakwa raya Amerika Syarikat yang mahu merampas aset bernilai AS$1 bilion yang didakwa dibeli menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB.

Penggunaan swasta terus menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia, walaupun perdagangan yang lebih baik berbanding jangkaan dan pengeluaran perindustrian boleh memberi rangsangan tambahan, menurut Ahli Ekonomi Kenanga Investment Bank, Wan Suhaimie Wan Saidie.

Ekonomi ketiga terbesar rantau Asia Tenggara menyaksikan pengeluaran perindustrian pada bulan Jun berkembang sebanyak 5.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, lebih tinggi daripada jangkaan dan peningkatan berganda pada bulan Mei.

Bagaimanapun, penurunan dalam pengeluaran pertanian ekoran El Nino akan melengah-lengahkan jangkaan peningkatan marginal penggunaan domestik, kata Ahli Ekonomi Hong Leong Investment Bank, Ket Ee Sia.

Pada bulan Januari , kerajaan mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi tahunan kepada 4.0 hingga 4.5 peratus berbanding 4.0 hingga 5.0 peratus. Pada tahun 2015, ekonomi berkembang sebanyak 5 peratus.

- Reuters

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS