Peniaga hadapi empat tuduhan berkaitan Daesh
Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Shah Alam hari ini atas empat pertuduhan berkaitan Daesh termasuk memiliki bahan letupan, baju sejuk dan bendera yang mempunyai lambang kumpulan
militan itu.
Mohd Shaifful Shahril Ramli, 28, dari Sungai Buloh mengangguk
faham selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtaruddin.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang ditangkap pada 19 Julai lepas.
Siti Shakirah menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Cheng Heng Kher sementara tertuduh diwakili peguam K A Ramu.
Mohd Shaifful Shahril didakwa memberi sokongan kepada Daesh dalam satu aplikasi Telegram atas nama Putra Zulkarnain dan Anonymous/Anonimous, antara 25 Mac hingga 30 Jun lepas dan pertuduhan mengikut Seksyen 130 J (1)(a) Kanun Keseksaan itu yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30
tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga didakwa memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan
pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi, serta bertujuan untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram di dalam telefon bimbit jenis Samsung Note 2 miliknya, antara 26 Jun dan 29 Jun lepas.
Kesalahan di bawah Seksyen 130 J (1)(b) Kanun Keseksaan itu turut
memperuntukkan hukuman yang sama.
Selain itu, Mohd Shaifful Shahril menghadapi pertuduhan memiliki bahan
letupan mengandungi campuran Sodium Chlorate dan Sucrose yang masing-masing berfungsi sebagai oxidizer dan fuel yang tersenarai dalam Seksyen 2 Akta Bahan Letupan 1957, kira-kira pukul 9.45 pagi pada 22 Julai lepas.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga menghadapi satu lagi pertuduhan memiliki item-item berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan Daesh iaitu sehelai baju sejuk serta sehelai bendera yang mempunyai lambang IS, kira-kira pukul 9.45 pagi, 22 Julai.
Tuduhan di bawah Seksyen 130 JB (1)(a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item tersebut.
Mohd Shaifful Shahril yang telah berkahwin didakwa melakukan kesemua kesalahan di No: 3, Lorong Indah 1, Kampung Sri Indah B, Sungai Buloh.
- Bernama

