Keterampilan diri tak semestinya pakaian mahal
Keterampilan diri perlu dititikberatkan oleh isteri pemimpin politik kerana ia membawa imej dan nama baik negara, antaranya ketika mengiringi suami untuk lawatan rasmi, kata Rosmah Mansor.
Menurut isteri perdana menteri, keterampilan diri sangat penting untuk memberi gambaran pertama, selain mempengaruhi tanggapan seseorang.
"Keterampilan bukan bermakna kita dikehendaki berpakaian yang mahal atau berjenama, tetapi cukuplah dengan mengenakan pakaian yang sesuai dengan majlis, kemas, bergaya serta terurus.
"Hakikatnya apabila kita berpenampilan kemas dan menarik, ia akan memberi tanggapan yang berbeza pada mata masyarakat kerana ia menonjolkan sikap yang positif pada tanggapan pertama.
"Bagi isteri pemimpin seperti kita, perkara ini sangat penting kerana ia membawa imej serta reputasi suami masing-masing di mata masyarakat," katanya yang juga penaung Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutupan Kursus Peningkatan Ilmu dan Keterampilan Diri BAKTI di ibu negara hari ini.
Menurut Rosmah lagi, sebagai isteri pemimpin, mereka tidak dapat lari daripada menjadi perhatian masyarakat.
Malah, keterampilan diri yang baik juga perlu disusuli dengan pemahaman protokol serta adab tertib di meja makan.
Sama ada suka atau tidak, isteri pemimpin perlu juga menguasai cara berkomunikasi dengan baik dan mampu memberikan ucapan kepada awam.
"Kita tak dapat lari daripada menjadi perhatian dan tumpuan masyarakat sama ada kita sedar atau tidak.
"Perlu diingat bahawa imej serta keterampilan diri seorang isteri itu sebenarnya adalah tuntutan kehidupan," katanya sambil memetik sabda Rasulullah SAW bahawa Allah Maha Indah dan menyukai keindahan.

