'Jawatan menteri hal ehwal parlimen patut dimansuhkan'
Jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal parlimen patut dimansuhkan, kata seorang peguam dalam sebuah forum hari ini.
Nizam Bashir - yang membentangkan kertas kerja bagi pihak bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim berkata kerajaan perlu menggunakan majoriti di dewan rakyat untuk membuat pembaharuan segera kepada perintah tetap parlimen dan mengukuhkan kedudukan speaker.
"Speaker mesti adalah anggota dewan rakyat dan mesti mampu berlaku adil dan saksama dalam menjalankan tugas di parlimen secara adil tidak berat sebelah.
"Dengan memainkan peranan sebagai seprang pengadil, speaker mestilah tidak menunjukkan sebarang berat sebelah kerana ini akan merosakkan kerja-kerja pembaharuan.
"Dia mesti berani untuk mempertahankan maruah dan integriti Parlimen.
"Jika dia dari Jabatan Perdana Menteri yang mengambil arahan daripada menteri yang menjaga hal ehwal parlimen, dengan sendirinya jawatan itu perlu dihapuskan," katanya pada majlis penutupan forum yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi Malaysia hari ini.
Forum itu diadakan di Kuala Lumpur dengan tajuk 'Tadbir Urus Ekonomi Negara: Peranan Jawatankuasa Parlimen.
Beliau berkata, parlimen sepatutnya menjadi sebuah badan bebas yang mampu mengurus dan menetapkan belanjawan sendiri, khususnya melalui jawatankuasa dewan dipengerusikan oleh speaker, yang dilantik oleh anggota parlimen.
Bagaimanapun, beliau berkata ini malangnya tidak berlaku di Malaysia.
"Malangnya ini tidak betul di Malaysia. Parlimen kita adalah lanjutan daripada Jabatan Perdana Menteri, dan hal ehwal parlimen dikawalselia oleh seorang menteri di jabatan itu.
"Speaker dilantik oleh dewan rakyat, tetapi hakikatnya sesiapa yang dalam peranan itu diputuskan oleh perdana menteri yang akan memutuskan berapa perbelanjaan parlimen," katanya.
Jawatan menteri di jabatan perdana menteri yang disebut kini dipegang oleh Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga menteri undang-undang.

