Malang tidak berbau! Itu yang terjadi apabila seorang bayi lelaki berusia 14 bulan maut selepas kepalanya bergesel dengan kereta yang dipandu datuknya sendiri dalam kejadian di Taman Desa Darul Iman, Bukit Kuang, Kemaman, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu mangsa, Ahmad Syawal Anaqi Ahmad Fadzi dikatakan merangkak keluar dari rumahnya menerusi pintu gelangsar kaca yang terbuka.

Datuk mangsa yang berusia 59 tahun itu ketika itu mahu mengalihkan kereta Perodua Axia yang diletakkan berdekatan simpang ke perkarangan rumah mereka bagi mengambil mangsa dan neneknya ke bandar.

Beliau bagaimanapun tidak menyedari cucunya pada masa yang sama telah merangkak keluar ketika dia membuka pintu dan masuk ke dalam kereta yang diletakkan kira-kira lima meter dari rumah.

Datuk mangsa hanya menyedari beliau terlanggar sesuatu selepas terdengar bunyi di bahagian belakang keretanya dan sebaik keluar dari kereta terlihat cucunya terbaring di tepi kereta.

Bayi lelaki berkenaan yang cedera parah ketika itu dihantar ke Hospital
Kemaman untuk mendapatkan rawatan namun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11.56 pagi.

Difahamkan bayi berkenaan dijaga oleh datuk dan neneknya ketika ibu dan bapanya keluar bekerja. Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian.

Katanya, menurut siasatan polis kepala mangsa dipercayai bergesel di
bahagian sisi belakang kereta menyebabkan mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Bernama