Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar sakit puan dituduh sebabkan kematian menantu TPM

Seorang doktor yang bertuas di sebuah klinik gigi di Bangsar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian menantu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pakar obstetrik dan ginekologi, Dr Ting Teck Chin mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat ke atas Syed Alman Zain Syed Ali.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Dr Ting, 36, didakwa menyebabkan kematian menantu timbalan perdana menteri berkenaan di Klinik Pakar Pergigian Imperiah di Jalan Telawi, Bangsar di Kuala Lumpur antara jam 6 petang dan 9.05 malam pada 1 Jun lalu.

Tertuduh diwakili peguam kanan K Kumaraendran manakala pertuduhan dilakukan timbalan pendakwa raya Mohd Abazafree Mohd Abbas.

Hakim Zainal L Saleh membenarkan Dr Ting diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan 17 Oktober ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Sementara itu di mahkamah sesyen berasingan Pengarah Klinik Pakar Pergigian Imperial, Dr Wong Yen Ling mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas sembilan pertuduhan.

Jika disabitkan kesalahan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, klinik berkenaan boleh didenda antara RM30,000 hingga RM300,000 bagi setiap pertuduhan.

Antara dakwaan yang dikenakan hari ini ialah gagal menyediakan petugas anestasia berkelayakan, tiada petugas radiologi berkelayakan, tiada tangki oksigen untuk menghadapi kecemasan serta tidak memiliki lesen daripada ketua pengarah jabatan kesihatan untuk mengendalikan bius ke atas Syed Alman.

Antara tuduhan lain yang dikenakan ke atas klinik pakar pergigian itu ialah gagal menyimpan dan menyelenggara daftar kakitangannya seperti dikehendaki peraturan, tiada rekod perubatan Syed Alman ketika dia dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut, gagal mematuhi pelabelan perubatan dan tidak mengambil langkah wajar untuk mengelak bahaya biologi kepada kakitangannya.

Dr Wong diwakili peguam Sreekanth Pillai.

Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin menetapkan 8 September ini untuk pengurusan kes berkenaan.

Pada 2 Jun lalu media melaporkan Syed Alman, 44, meninggal dunia di PPUM selepas didapati tidak sedarkan diri ketika membuat rawatan gusi di sebuah klinik di Bangsar.

Syed Alman adalah suami kepada Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS